LUQMAN bakal bersaing dengan nama-nama besar yang sudah menunjukkan kualiti bersama kelab-kelab hebat seperti Erling Braut Haland (Borussia Dortmund) dan Ansu Fati (Barcelona). FOTO Ihsan 433
LUQMAN bakal bersaing dengan nama-nama besar yang sudah menunjukkan kualiti bersama kelab-kelab hebat seperti Erling Braut Haland (Borussia Dortmund) dan Ansu Fati (Barcelona). FOTO Ihsan 433
Firdaus Hashim


KEHEBATAN penyerang sensasi muda negara, Luqman Hakim Shamsudin di depan gawang terus mendapat perhatian dunia apabila dia disenaraikan dalam pencalonan 'Golden Boy' musim 2019/2020 oleh media terkenal dari Belanda, 433.

Pencalonan Luqman dalam anugerah berkenaan sememangnya mengejutkan kerana ia biasanya membabitkan pemain-pemain muda yang sudah mencipta nama di Eropah.

Sebaliknya penyerang skuad bawah 19 (B-19) tahun negara itu yang hanya akan menyertai kelab Belgium, KV Kortrijk pada Ogos ini tetap dicalonkan berdasarkan aksi menakjubkan ketika bersama skuad kebangsaan seperti di Kejuaraan AFC B-16 pada 2018, Kejuaraan AFF dan Kelayakan AFC B-19 pada tahun lalu.

Menerusi 'Golden Boy' itu, Luqman bakal bersaing dengan nama-nama besar yang sudah menunjukkan kualiti bersama kelab-kelab hebat seperti Erling Braut Haland (Borussia Dortmund), Ansu Fati (Barcelona), Phil Foden (Manchester City) dan Callum Hudson-Odoi (Chelsea).

Sekiranya Luqman tidak memenangi anugerah ini, setidaknya ini menjadi satu lagi pencapaian Luqman di peringkat antarabangsa.

Malah, ini adalah kejayaan kedua buat tonggak yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu selepas tahun lalu turut diiktiraf dalam senarai 60 pemain muda terbaik dunia oleh portal antarabangsa, The Guardian.

Menariknya, daripada 60 pemain yang disenaraikan itu, hanya lima pemain daripada Asia termasuk Luqman yang menarik perhatian untuk disenaraikan dalam kelompok pemain terbaik yang lahir pada 2002.

Empat pemain itu adalah Jun Nishikawa (Jepun/ Cerezo Osaka), Khasanov Mukhriddin (Tajikistan/ Parvoz), Suphanat Muenta (Thailand/ Buriram United) dan Jasurbek Jaloliddinov (Uzbekistan/ Bunyodkor).

Menurut The Guardian, Luqman Hakim dilihat sebagai bakat muda yang bakal menggantikan era kegemilangan yang pernah diraih oleh legenda bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 3:32 PM