MANE (tengah) meraikan jaringannya. FOTO AFP
MANE (tengah) meraikan jaringannya. FOTO AFP
AFP

SADIO Mane membantu Liverpool terus berada di landasan tepat untuk melakar rekod jumlah mata baharu di Liga Perdana selepas menewaskan Aston Villa 2-0 hari ini sekali gus kembali dengan kelebihan 23 mata berbanding Manchester City yang tewas di tangan Southampton.

Empat hari selepas City menewaskan Liverpool 4-0, Reds kembali beraksi di gelanggang sendiri buat kali pertama selepas dinobat juara liga tetapi hanya dapat mempamerkan aksi sebenar pada 20 minit terakhir.

Mane memecah kebuntuan selepas menerima hantaran cantik Naby Keita pada minit ke-71 sekali gus gol ke-20 dilakarnya musim ini sebelum Curtis Jones menambah gol kedua minit ke-89.

Kemenangan itu menyaksikan Liverpool mengumpul 89 mata dan mereka memerlukan empat kemenangan lagi daripada baki lima perlawanan untuk mengatasi rekod 100 mata terkumpul yang dilakar City pada musim 2017/2018.

"Kami berada di kedudukan sepatutnya kerana kami meraih kemenangan yang sukar.

"Ia bukanlah persembahan yang cemerlang tetapi sudah cukup baik untuk meraih tiga mata penuh," kata Klopp.

Villa pula kekal di zon penyingkiran dan hanya kurang satu mata untuk keluar dari zon itu bagi mengelak tersingkir ke Liga Kejuaraan musim depan.

City pula sekali lagi mempamerkan aksi dominan tetapi tewas menerusi gol tunggal Che Adams untuk Southampton.

Skuad bimbingan Pep Guardiola menguasai 74 peratus perlawanan dan melakukan 26 cubaan tepat tetapi gagal untuk menembusi gawang gol lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 8:18 AM