KHAIRUL Hafiz (kiri) dan Haiqal dijangka akan kembali ke Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) selewat-lewatnya pertengahan bulan Ramadan ini. FOTO NSTP
KHAIRUL Hafiz (kiri) dan Haiqal dijangka akan kembali ke Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) selewat-lewatnya pertengahan bulan Ramadan ini. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Hanya tujuh bulan berada di Majlis Sukan Negara (MSN) untuk berlatih di bawah kendalian pengarah teknikal olahraga, Dwayne Miller, dua pelari pecut negara Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi memilih untuk kembali bersama Mohd Poad Md Kassim.

Kedua-dua mereka tidak menidakkan keupayaan Miller tapi keputusan itu dipilih kerana merasakan hanya Poad dapat mengembalikan rentak larian yang selama ini hilang.

Khairul Hafiz ketika ditemui memaklumkan bahawa perkara itu sudah dimaklumkan kepada MSN dan dia bersama Haiqal dijangka akan kembali ke Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) selewat-lewatnya pertengahan bulan Ramadan ini.

"Keputusan ini diambil untuk sesuatu yang lebih baik. Saya tak kata Miller tak bagus. Beliau seorang jurulatih yang banyak pengalaman dan berjaya membawa ramai atlet ke Olimpik.

"Tapi mungkin dalam setiap 10 atlet yang dilatihnya satu atau dua tidak dapat menerima pendekatannya.

"Saya pula adalah pelari pecut dan Miller pula pakar dalam 400m. Keserasian itu juga penting sebab kita sebagai atlet yang rasa apa yang ingin dicapai. Apa yang saya dilalui kini semuanya adalah satu proses," katanya.

Dua pemenang pingat emas 100m Sukan SEA mula menjalani latihan di bawah Miller pada Oktober tahun lalu dalam usaha MSN untuk mengumpul kesemua pelari pecut terbaik negara di bawah satu bumbung.

Berasal dari Amerika Syarikat, beliau mempunyai berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kejurulatihan dan pernah membantu LaShawn Merritt merangkul dua emas pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing dalam acara 400m dan 4x400m dengan mencatat rekod Olimpik.

Sementara itu, The Speedy Jantan yang juga pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.18 saat itu berharap keputusan yang diambilnya itu tidak menjadi isu besar atau diperdebatkan oleh mana-mana pihak.

"Saya tak mahu keputusan yang saya ambil ini akan jadi isu besar. Tak nak bergaduh atau sebagainya. Sebab apa yang saya fikirkan sekarang adalah untuk bawa nama Malaysia.

"Saya pergi untuk sesuatu yang lebih baik. Perkara ini tak boleh dipaksa. Penerima setiap orang terhadap jurulatih tidak sama," katanya yang mula berlatih bersama Poad sejak dari tingkatan tiga sebelum berpindah tangan bersama Miller tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 11:04 PM