KETUA pasukan Bayern, Manuel Neuer (tengah) menjulang trofi bagi meraikan kejuaraan liga buat kali kelapan berturut-turut. FOTO AFP
KETUA pasukan Bayern, Manuel Neuer (tengah) menjulang trofi bagi meraikan kejuaraan liga buat kali kelapan berturut-turut. FOTO AFP
AFP

WERDER Bremen berjaya menghidupkan harapan untuk tidak tersingkir awal dari Bundesliga dengan membelasah Cologne 6-1 bagi meraih slot playoff pada perlawanan terakhir musim ini, manakala Bayern Munich memalukan Wolfsburg sebelum menjulang trofi awal pagi tadi.

Penyerang Jepun, Yuya Osako menjaringkan dua gol tatkala Bremen memperoleh talian hayat akan beraksi di playoff selepas merampas kedudukan berkenaan dari Fortuna Duesseldorf yang tumpas 0-3 kepada Union Berlin.

Ini bermakna Union Berlin mengikut jejak Paderborn tersingkir dari Bundesliga, kurang satu mata di belakang Bremen.

Pasukan bimbingan Florian Kohfeldt akan berdepan lawan dari divisyen dua sama ada Heidenheim atau jiran, Hamburg pada saingan pertama playoff Khamis depan.

Bremen lebih banyak beraksi dalam Bundesliga berbanding pasukan lain, hanya sekali saja berada di divisyen dua pada 1980/81.

Jaringan secara berturut-turut melalui Osaka, Milot Rashica dan Niclas Fuellkrug dalam tempoh lapan minit membolehkan Werder mendahului 3-0 pada separuh masa pertama.

Bekas pemain tengah Everton, Davy Klaassen meledak gol selepas rehat sebelum Osako yang berdepan pasukan lamanya meledak jaringan kedua peribadi dan pemain antarabangsa Amerika Syarikat, Josh Sargent menambah derita buat Cologne untuk gol keenam Bremen.

Cologne memperoleh gol saguhati melalui Dominick Drexler.

Di Wolfsburg, penyerang Bayern, Robert Lewandowski menjaringkan gol ke-34 musim ini melalui sepakan penalti, sekali gus muncul penjaring terbanyak liga buat kali kelima.

Kingsley Coman, Michael Cuisance dan Thomas Mueller juga berjaya mencetak nama sebagai penjaring gol, tatkala Bayern yang sudah mengesahkan kejuaraan kali kelapan berturut-turut berjaya menjarakkan kedudukan 13 mata dengan pasukan tangga kedua, Borussia Dortmund.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 9:07 AM