PEMAIN tengahSchalke, Nassim Boujellab (kiri) cuba menghalang Kimmich yang juga penjaring gol tunggal ketika Bayern mencatat kemenangan 1-0 awal pagi tadi. FOTO AFP
PEMAIN tengahSchalke, Nassim Boujellab (kiri) cuba menghalang Kimmich yang juga penjaring gol tunggal ketika Bayern mencatat kemenangan 1-0 awal pagi tadi. FOTO AFP
AFP

JOSHUA Kimmich berjaya membantu Bayern Munich mara ke separuh akhir Piala Jerman selepas menjaringkan gol tunggal ketika menewaskan Schalke 04 awal pagi tadi.

Bayern sekarang ini berada di tangga teratas Bundesliga dan selangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara selepas mengalahkan Chelsea 3-0 pada perlawanan pertama pusingan kedua.

Turut mencuri tumpuan ialah pasukan divisyen empat Saarbrucken yang mengejutkan Fortuna Duesseldorf menerusi penentuan penalti 7-6 selepas kedua-dua terikat 1-1.

Wira Saarbrucken ialah penjaga gol mereka, Daniel Batz, yang menyelamatkan penalti pada aksi sebenar dan menggagalkan dua sepakan lagi di penentuan penalti.

Saarbrucken mendahului permainan pada minit ke-31 namun perlawanan diheret ke penentuan penalti selepas Fortuna berjaya menyamakan kedudukan di minit ke-90 melalui Mathias Jorgensen.

Penyandang juara, Bayern memenangi 13 daripada 14 perlawanan terakhir mereka di bawah kendalian Hansi Flick namun mereka turun beraksi tanpa pemain yang cedera, Robert Lewandowski dan Kingsley Coman.

Kedua-dua pemain berkenaan menjaringkan gol tahun lalu ketika mengalahkan RB Leipzig 3-0 pada aksi final.

Kimmich meledak rembatan pertama di penjuru petak penalti pada minit ke-40 seterusnya menghasilkan jaringan tunggal, manakala Schalke pula mempunyai percubaan yang megenai palang dan satu lagi gol mereka dibatalkan kerana ofsaid.

Dalam dua lagi aksi suku akhir menyaksikan Bayer Leverkusen akan menanti kunjungan Union Berlin, manakala Eintracht Frankfurt pula bertemu Werder Bremen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 9:41 AM