BENZEMA sedia untuk melepaskan rembatan voli bagi menghasilkan gol ketiga Real ketika berdepan Valencia. FOTO AFP
BENZEMA sedia untuk melepaskan rembatan voli bagi menghasilkan gol ketiga Real ketika berdepan Valencia. FOTO AFP
AFP

REMBATAN voli Karim Benzema mampu untuk menjadi gol terbaik musim ini dan sentuhan pertama Marco Asensio selepas lebih setahun membantu Real Madrid mencatat kemenangan 3-0 ke atas Valencia awal pagi tadi.

Dua gerakan menarik itu membolehkan Real meraih kemenangan meyakinkan di Stadium Alfredo di Stefano, manakala Benzema meneruskan prestasi cemerlang menghasilkan dua gol termasuk dengan meletakkan pasukannya di depan selepas berganding baik bersama Eden Hazard.

Valencia bermain baik pada separuh masa pertama apabila percubaan Rodrigo Morena terkena tiang dan satu jaringan kontroversi dibatalkan oleh pengadil Jose Sanchez selepas dibantu Video Bantuan Pengadil (VAR).

Bagaimanapun, Madrid berjaya mengorak langkah lebih baik selepas rehat untuk mencatat kemenangan bagi mengurangkan defisit dua mata di belakang Barcelona.

Gol kedua menarik Benzema menyaksikan dia melambungkan bola ke udara terlebih dulu sebelum melepaskan rembatan voli, ia terhasil selepas Asensio juga menjaringkan gol yang sangat dramatik.

Asensio tidak beraksi sejak 10 Jun tahun lalu selepas mengalami kecederaan di bahagian ligamen lutut namun pemain berusia 24 tahun itu kembali dengan penuh bergaya, melakukan voli melalui sentuhan pertamanya selepas 31 saat dimasukkan sebagai pemain gantian.

"Sudah beberapa bulan saya bekerja keras dan saya sangat gembira dapat beraksi semula serta menjaringkan gol. Saya sangat emosi, puas. Banyak kerja saya lakukan untuk sampai ke tahap ini," kata Asensio.

"Ia sangat bermakna buatnya. Kami sudah gembira selepas melihat dia kembali berada di atas padang. Bagaimanapun, dengan berbaki sembilan perlawanan lagi, Benzema adalah kunci utama, gandingannya bersama Hazard terus menjadi," jurulatih Real, Zinedine Zidane.

Benzema sudah mengumpul 243 gol bersama Real dalam semua kejohanan meletakkannya berada di depan Ferenc Puskas untuk kedudukan kelima penjaring terbanyak sepanjang zaman buat kelab berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 9:08 AM