AKSI  Hazard (kiri) menjaringkan gol ketiga Madrid. FOTO AFP
AKSI Hazard (kiri) menjaringkan gol ketiga Madrid. FOTO AFP
AFP

Madrid: Eden Hazard meledak satu gol dan membantu satu lagi jaringan ketika Real Madrid menewaskan Alaves 4-1 sekaligus meredakan tekanan ke atas jurulatih mereka, Zinedine Zidane yang positif Covid-19, awal pagi tadi.

Kedudukan Zidane sekali lagi menjadi perhatian selepas tewas kepada kelab kerdil Alcoyano dalam aksi Copa del Rey, Rabu lalu tetapi Madrid bangkit bergaya di Mendizorroza tanpa pengendali mereka dan kapten, Sergio Ramos yang tersisih akibat kecederaan lutut.

Jaringan Casemiro, Karim Benzema dan Hazard meletakkan Madrid di depan pada babak pertama. Ketika Alaves sekali sekala mengancam dan mendapatkan gol menerusi tandukan Joselu, Benzema mengesahkan kemenangan dengan gol keduanya.

Kemenangan itu hanya yang kedua buat Real Madrid dalam enam perlawanan dan empat mata di belakang Atletico Madrid yang berkelebihan dua perlawanan dalam tangan. Mereka akan menentang Valencia di tempat sendiri, awal pagi esok.

Prestasi Madrid pada babak pertama dianggap yang terbaik musim ini dengan jaringan awal Casemiro menerusi tandukan selepas mendapat hantaran Toni Kross meningkatkan keyakinan mereka.

Benzema menggandakan kedudukan menerusi rembatan kencang selepas Hazard bijak menguis bola menggunakan tumit kepada penyerang Perancis itu. Hazard sendiri meledak gol ketiga dengan tenang menewaskan penjaga gol tuan rumah, Fernando Pachecho selepas mendapat hantaran lambung Kroos.

Ia hanya jaringan ketiganya dalam La Liga dan yang pertama di tempat lawan sejak berpindah dari Chelsea dengan harga 100 juta euro (RM492 juta).

Alaves cuba bangkit dan berjaya menjaringkan gol menerusi tandukan Joselu yang mendapat hantaran sepakan percuma Lucas Perez tetapi Benzema memastikan kemenangan Madrid menerusi rembatan ke penjuru kanan gawang Alaves.

Dalam perlawanan awal, Youssef En-Nesyri meledak hatrik keduanya dalam empat perlawanan ketika Sevilla menewaskan Cadiz 3-0 untuk melonjak ke tangga kedua La Liga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 8:29 AM