SAINZ akan bersama Ferrari pada musim ini. FOTO Agensi
SAINZ akan bersama Ferrari pada musim ini. FOTO Agensi
Agensi

Surrey: Zak Brown berkata, Calos Sainz mempamerkan aksi melebihi apa yang dijangkakan sepanjang dua tahun bersama pasukan Formula Satu (F1) McLaren.

Sainz menyertai Ferrari untuk musim baharu 2021 selepas dua musim di McLaren yang menyaksikannya menyinar bersama seorang lagi pemandu, Lando Norris dengan kedua-duanya menjalinkan kerjasama amat baik.

Prestasi cemerlang sepanjang musim 2020 menyaksikan Sainz meninggalkan McLaren dengan membantu pasukan itu meraih tempat ketiga keseluruhan kategori pengeluar manakala dirinya pula keenam keseluruhan kedudukan pemandu.

"Carlos melaksanakan tugasnya dengan sangat baik. Kami tidak mungkin akan menandatanganinya jika kami tidak berasakan dia adalah pemandu yang cemerlang.

"Saya rasa adalah adil untuk menyatakan dia mempamerkan aksi di luar jangkauan kami. Dia serta Lando sangat membantu kami untuk bangkit semula sejak beberapa tahun ini.

"Seperti yang diketahui semua, dalam sebuah pasukan, pemandu pasti paling menjadi tumpuan utama.

"Mereka memberi sumbangan yang sangat besar, jadi kesemua kakitangan di McLaren akan cuba menyediakan jentera paling terbaik untuk mereka.

"Renault menjadi rakan gandingan yang baik dan ia menjadikan semuanya sempurna terutama dengan gandingan Carlos serta Lando," katanya Brown.

Daniel Ricciardo akan menggantikan tempat Sainz sekali gus bergandingan bersama Norris untuk musim 2021.

"Kami amat teruja dapat menjalinkan kerjasama dengan Daniel. Dia pemandu yang sudah terbukti mempunyai kaliber untuk mampu memenangi perlumbaan," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 8:15 PM