AZIZULHASNI. FOTO AFP
AZIZULHASNI. FOTO AFP
Aida Adilah Mat

MENYAMBUT Ramadan di perantuan bukan perkara asing buat pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang yang dalam persiapan menghadapi temasya Olimpik Tokyo tahun depan.

Sudah acap kali dia bersama keluarga terpaksa melupakan tanah air tercinta demi tuntutan kerjayanya sebagai seorang pelumba basikal negara.

Namun tahun ini agak berbeza dan tidak sama seperti tahun sebelum ini kerana dunia diserang pandemik Covid-19 yang memaksa sebahagian besar masa dihabiskan di rumah bagi mengekang penularan wabak itu.

Begitupun Azizul berkata, keadaan itu sebenarnya memberi lebih banyak masa dan ruang buat dirinya yang sebelum ini sibuk dengan latihan untuk bersama keluarga tercinta selain memperbanyakkan amal ibadat.

Katanya, kesempatan Ramadan di musim Covid-19 ini membolehkan dia dan isteri, Athiah Ilyana Abdul Samat mengambil kelas mengaji dalam talian untuk memperbaiki dan melancarkan bacaan dan makhraj.

"Ramadan kali ini juga agak istimewa kerana kita semua terkurung dalam rumah, saya pun kurang sibuk dengan latihan seperti sebelum ini.

"Saya fikir Ramadan kali ini adalah untuk saya dan keluarga berlumba dalam ibadah pula. Saya nak gunakan kesempatan ini mendekatkan diri dengan Allah dan membanyakkan amal ibadah," katanya.

Namun bagi Azizul, rindu terhadap keluarga di Malaysia juga tidak dapat dibendung setiap kali Ramadan menjelang.

"Saya rindu untuk bertarawih berjemaah di masjid, bersahur dan berbuka dengan keluarga di kampung. Paling dirindu berbuka dengan mak dan ayah saya.

"Memang jarang sangat dapat dilakukan kerana komitmen saya dengan latihan dan harus berada di perantauan. Selain itu saya juga rindu nak beli-belah untuk raya di Malaysia sebab dah lama sangat sangat kami tak buat sejak anak sulung Amna (Maryam) lahir sampai dia dah lapan tahun sekarang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 7:15 AM