MOHD Al-Jufferi menjalani latihan di rumah dua jam sehari ketika PKP.
MOHD Al-Jufferi menjalani latihan di rumah dua jam sehari ketika PKP.
Mohd Rafi Mamat


PESILAT negara, Mohd Al-Jufferi Jamari tidak menolak kemungkinan dia hanya berpeluang menyertai satu sahaja kejohanan silat peringkat antarabangsa tahun ini berikutan penularan wabak Covid-19 hampir di seluruh dunia.

Menurutnya, sebelum ini Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) menyenaraikan lima kejohanan antarabangsa yang akan disertai sepanjang tahun ini namun tidak menjadi kenyataan apabila pihak penganjur mengambil keputusan membatalkan kejohanan berikutan pandemik itu.

Katanya, Kejohanan Pencak Silat Ke-20 Dunia di Kuching, Sarawak yang dijangka diadakan hujung tahun ini menjadi peluang terakhir untuk dia dan barisan pesilat negara bertanding di pentas antarabangsa.

Sebanyak 70 negara dijangka menyertai kejohanan berkenaan.

“Peringkat awal saya difahamkan Kejohanan Pencak Silat ke-20 Dunia akan diadakan Julai depan namun diubah tarikhnya disebabkan Covid-19 melanda seluruh negara.

“Walaupun kejohanan berkenaan terpaksa ditangguhkan namun pesilat tetap meneruskan latihan disediakan jurulatih,” kata Mohd Al-Jufferi yang bertanding dalam kategori kelas E Putra 65-70 kilogram (kg).

Menurutnya, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dia meluangkan masa dua jam sehari untuk melakukan latihan di rumah berbanding lima jam sehari dilakukan sebelum ini.

Mohd Al-Jufferi berkata, untuk mengekalkan kecergasan dia perlu sentiasa berlatih tanpa mengira tempat, walaupun berlatih di rumah kurang selesa namun tanggungjawab berkenaan perlu dilakukan secara berterusan seperti ditetapkan oleh jurulatih.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 6:00 AM