HAMIDIN berkata FAM ambil keputusan menangguhkan semua aktiviti bola sepak. FOTO Azhar Ramli
HAMIDIN berkata FAM ambil keputusan menangguhkan semua aktiviti bola sepak. FOTO Azhar Ramli
Syazwan Msar


PEMINAT bola sepak tanah air perlu menunggu lebih lama lagi untuk melihat saingan Liga Malaysia (Liga M) kembali bersambung apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan menangguhkan semua aktiviti sukan terbabit hingga tarikh yang akan diberitahu kelak.

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin menerusi kenyataannya berkata, keputusan terbabit diambil selepas mengambil kira situasi semasa tahap penularan terkini wabak Covid-19 yang menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari dari 18 hingga 31 Mac dilanjutkan sehingga 14 April depan.

Beliau berkata, lanjutan PKP terbabit juga sudah pasti turut mempengaruhi perjalanan baki saingan Liga M yang mana ia akan menyebabkan lanjutan perlawanan liga sudah pun ditangguhkan berkuat kuasa bermula 16 Mac lalu.

Katanya, FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sudah pun bersetuju untuk terus menangguhkan kesemua aktiviti termasuk membabitkan Liga Bolasepak Amatur (AFL) sehingga tarikh baharu akan diumumkan nanti.

“Meskipun keputusan lanjutan penangguhan ini adalah cukup sukar tetapi harus dibuat demi kepentingan dan keharmonian rakyat di mana FAM bersama MFL sentiasa mengutamakan usaha mencegah wabak Covid-19 daripada terus menular apatah lagi kita mencatat peningkatan jangkitan di kalangan masyarakat ketika ini.

“Selain saingan Liga Super, Liga Premier, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Cabaran, lanjutan penangguhan ini juga turut membabitkan kem pasukan kebangsaan, Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL), Piala Presiden, Piala Belia, Liga M3 dan Liga M4,” katanya, di sini.

Hamidin berkata, situasi semasa akibat penularan wabak Covid-19 memberi kesan kepada perjalanan Liga M, namun yakin segala masalah yang berkaitan mampu diselesaikan dengan kerjasama daripada FAM, MFL, Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), kelab dan pemain serta pegawai pasukan.

“Kita sedia maklum yang kelab mungkin berdepan masalah kewangan kerana ketiadaan perlawanan berlangsung ketika ini, sekali gus menjejaskan sumber kutipan tiket masing-masing dan pada masa yang sama perlu meneruskan juga pembayaran gaji kepada pemain dan pegawai.

“Situasi seperti ini bukan kita minta dan tidak dapat dielakkan tetapi apabila ia berlaku, perbincangan dan persetujuan bersama adalah sesuatu yang perlu dicapai bagi memastikan kepentingan semua pihak dapat dijaga. Sama seperti FAM, kami di MFL sentiasa bersedia untuk dihubungi oleh mana-mana rakan kongsi liga untuk sebarang perbincangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 7:54 PM