HAMIDIN ketika  sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM ke-12 Bagi Sesi 2017-2021 di Wisma FAM. - FOTO Bernama
HAMIDIN ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM ke-12 Bagi Sesi 2017-2021 di Wisma FAM. - FOTO Bernama
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Semua 24 pasukan Liga Malaysia (Liga M) diarahkan untuk tidak menjalani latihan pramusim berkuat kuasa esok bagi mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar sehingga 26 Januari ini.

Peringatan itu disampaikan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin kepada semua pasukan Liga M termasuk saingan liga bawahan seperti pasukan Liga M3, Piala Presiden dan Piala Belia.

"Kalau kita lihat perkara ini (latihan pramusim), kejohanan kita tak ada, belum lagi. Dijangka pada 26 Februari (aksi Sumbangsih membabitkan Johor Darul Ta'zim dan Kedah), kita punya Liga Super, Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia bermula selepas itu.

"Tapi kita ikut prosedur ditetapkan kerajaan semalam mengenai proses ini dan kita pun tak ada pertandingan, hanya latihan. Tapi mereka (pasukan) perlu patuh untuk tidak melakukan latihan di seluruh negara, seperti yang dibenar mengikut SOP (prosedur operasi standard)," katanya pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke-12 bagi sesi 2017-2021 yang berlangsung di Wisma FAM, hari ini.

Hamidin yang juga Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menambah, pihaknya sudah menyediakan beberapa 'pelan kecemasan' sekiranya pandemik Covid-19 terus meningkat dan PKP dilanjutkan.

Katanya, berdasarkan pengalaman sepanjang tahun lalu dalam menguruskan masalah penjadualan Liga M berikutan wabak itu, tidak mustahil kempen liga terpaksa dilewatkan ke Mac.

''Namun semuanya bergantung kepada perkembangan semasa dan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Tetapi memandangkan liga kita akan bermula pada bulan dua dan tiga, pihak FAM dan MFL perlu bersedia dengan beberapa pilihan kemungkinan akan terjadi macam 2020.''

Musim lalu, Liga M terpaksa ditunda selama lima bulan berikutan pelaksanaan PKP dengan liga bersambung pada hujung Ogos.

Selain itu, beberapa perubahan format turut dilakukan dengan aksi liga terpaksa dipendekkan kepada separuh liga, manakala saingan Piala FA, Piala Cabaran, Piala Presiden, Piala Belia dibatalkan.

Piala Malaysia yang berlangsung selepas berakhir liga, turut menjadi 'mangsa' Covid-19 apabila sekadar sempat dimainkan dalam pusingan pertama sahaja sebelum ia dibatalkan oleh MFL disebabkan oleh pandemik itu pada November lalu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 9:18 PM