Glen Mills (kiri) berbincang bersama juara Olimpik, Usain Bolt ketika latihan. FOTO File Reuters
Glen Mills (kiri) berbincang bersama juara Olimpik, Usain Bolt ketika latihan. FOTO File Reuters
Reuters

JURULATIH Usain Bolt menyarankan Olimpik Tokyo tahun ini dianjakkan sehingga 2021 ketika penularan koronavirus (Covid-19) mengancam nyawa di seluruh dunia.

“Cadangan saya adalah tangguhkan sukan Olimpik sehingga tahun depan,” kata jurulatih pecut Jamaica, Glen Mills kepada Reuters dalam satu temubual menerusi telefon.

“Ini mungkin belum pernah terjadi sebelum ini tapi kita berada tepat pada masa yang belum berlaku. Ubah semuanya kepada setahun dan semuanya akan kembali teratur berada di tempatnya.

“Jadi saya tidak fikir temasya sukan Olimpik itu akan berlangsung seperti yang dijadualkan (Julai dan Ogos) kerana penularan virus seluruh dunia dan dengan beberapa negara, ia baru mula tersebar.

“Saya tidak nampak akan meneruskan Olimpik, membawa orang dari seluruh dunia dan meletakkan mereka dalam kelompok berpusat.”

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan penganjur Tokyo mengekalkan keputusan bahawa temasya sukan berkenaan harus diteruskan mengikut jadual bermula 24 Julai ini.

Mills yang melatih jaguh pecut yang kini bersara, Bolt kepada lapan pingat emas Olimpik dan juara kejohanan dunia 11 kali, berkata barisan atletnya kini di Racers Track Club tidak dibenarkan berlatih sejak Rabu lalu.

Ini adalah sebahagian daripada tindakan yang diambil oleh Kementerian Kesihatan Jamaica, termasuk menutup gym dan trek latihan.

“Ketika ini perkara yang paling penting mereka mengasingkan diri dan mengikut arahan jarak sosial,” kata Mills.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 9:34 AM