AZIZULHASNI miliki semangat juang tinggi dalam mengejar impian emas Olimpik pertama negara.
AZIZULHASNI miliki semangat juang tinggi dalam mengejar impian emas Olimpik pertama negara.
Aida Adilah Mat


JANJI Azizulhasni Awang untuk menghadiahkan emas pertama negara di temasya Olimpik Tokyo bukan satu angan-angan kosong, malah dia mampu menukar mimpi itu menjadi kenyataan.

Itu kata Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab yang yakin

The Pocket Rocketman boleh membuktikan kemampuannya mencipta sejarah dalam sukan negara.

Melihat pada karakter pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio itu, sudah cukup untuk melabelkan atlet berusia 32 tahun itu seorang yang luar biasa dan bakat yang dimilikinya itu satu dalam sejuta.

Abu Samah berkata, Azizulhasni kini sudah semakin dekat dengan sasarannya iaitu menjadi atlet pertama negara meraih emas di Olimpik.

“Ini bukan angan-angan kerana dia memang mampu dan hanya taktikal akan menentukan. Saya yakin dengan Azizul sebab dia seorang pelumba yang begitu bersemangat dan dia punya semangat juang memang lain daripada yang lain,” katanya.

Abu Samah berkata, Azizulhasni sudah membuktikan dia pelumba luar biasa, ketika di zaman remaja dia berjaya meraih emas dalam acara keirin dan dalam tempoh beberapa bulan selepas itu di Kejohanan Berbasikal Asia di Thailand dia berjaya meraih emas dalam kategori senior pula.

Ketika ramai yang mempersoalkan keputusan Azizulhasni berkahwin pada usia 24 tahun, Azizul sekali lagi berjaya menangkis tanggapan ramai yang bimbangkan kemerosotan prestasinya, tapi dia berjaya membuktikan perkahwinan langsung tidak menjejaskan kariernya, malah dia kini sudah bergelar juara dunia biarpun bergelar ayah kepada dua cahaya mata perempuan.

Kata Abu Samah, tiada yang mustahil buat Azizul dan PKBM sendiri menaruh keyakinan tinggi dan sentiasa memberi 100 peratus sokongan terhadap pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu.

“Ketika ini saya harap rakyat Malaysia dapat doakan dia dipermudahkan segala urusan dan jangan ada kemalangan atau sebarang yang tidak diinginkan berlaku.

“Kita doakan semangat Azizul terus kental dan bersedia menghadapi cabaran yang lebih besar dari Rio,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 6:00 AM