Kuala Lumpur: Ganjaran menanti jaguh trek negara Azizulhasni Awang selepas memenangi emas acara keirin Kejohanan Trek Dunia di Hong Kong kelmarin.

Perkara itu disuarakan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Wahab yang turut teruja dengan kejayaan The Pocket Rocketman melakar sejarah baru sukan itu.

“Sudah pasti kami akan memberikan ganjaran kepadanya kerana kejayaan diraih adalah sejarah baru buat sukan berbasikal negara.

“Belum pernah pelumba lain mencapainya sebelum ini. Dia pelumba Asia Tenggara pertama memenangi acara keirin dan kedua di Asia.

“Sudah menjadi tanggungjawab kami untuk memberikan semangat dan dorongan kepada dirinya untuk terus berjaya. Walaupun kedudukan kewangan PKBM tidak begitu kukuh, kami tetap akan beri ganjaran walaupun sedikit,” katanya.

Abu Samah menjelaskan jumlah sebenar masih belum diketahui dan akan dibincangkan pada mesyuarat bulan depan.

Kejayaan Azizul memenangi emas acara keirin turut melayakkan dia menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) berjumlah RM20,000 daripada Majlis Sukan Negara.

“Kejayaan diraih Azizul turut memberikan semangat kepada PKBM untuk terus melahirkan pelumba berkaliber.

“Saya berpeluang bercakap dengannya selepas perlumbaan dan mengucapkan tahniah kerana peningkatan ketara dipamerkannya. Begitu jauh dia meninggalkan pencabar lain lain,” kata Abu Samah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2017 @ 9:11 AM