AZIZULHASNI tidak mendapat insentif daripada PKBM.
AZIZULHASNI tidak mendapat insentif daripada PKBM.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Bukan hanya kejayaan Datuk Azizulhasni Awang di Sukan Olimpik Tokyo tidak mendapat perhatian dengan pemberian insentif daripada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), malah pelumba terdahulu turut menerima nasib sama.

Mendedahkan situasi itu, pemenang pingat perak Sukan Komanwel 1998, Nor Effandy Rosli dalam acara 184 kilometer (km) lepas beramai-ramai berkata, dia juga tidak menerima sebarang insentif daripada PKBM di atas kejayaan muncul juara kategori Asia keseluruhan pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 1999 dan meraih pingat gangsa di Kejohanan Berbasikal Asia 1993. Hanya sekali dia pernah mendapat imbuhan daripada PKBM iaitu sebanyak RM200 pada tahun 1984 selepas meraih jersi kuning dan menjuarai Terbuka Thailand.

Katanya, PKBM perlu mencari cara terbaik untuk mengembangkan persatuan itu demi masa depan sukan berbasikal negara.

"PKBM seharusnya menghargai Azizul kerana bukan senang nak pergi ke Olimpik dan mendapat pingat untuk negara. Saya yakin, PKBM sebenarnya mampu untuk mencari dana dan boleh menjana pendapatan yang banyak.

''Ini tidak, PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), mereka pun terus senyap tak ada buat apa-apa," katanya.

Arena Metro hari ini melaporkan Presiden PKBM, Datuk Abu Samah mengaku pihaknya tidak mampu memberi ganjaran kepada Azizul buat masa ini berikutan persatuan itu menghadapi masalah kewangan berikutan pandemik Covid-19.

Dengan mengambil contoh pasukan hoki senior yang akan berangkat ke London untuk Siri Jelajah United Kingdom 2021, seharusnya PKBM perlu mencari jalan untuk mengembangkan sukan berbasikal negara.

"PKBM perlu bijak mengolah keadaan. Macam mana CIMB boleh taja Azizul seorang tapi bukan PKBM. Cari jalan untuk mencari lebih banyak dana. Untuk meyakinkan penaja, PKBM perlu ada pasukan kuat. Bentuk pasukan yang boleh menaikkan nama negara sebagai contoh bentuk pasukan remaja," katanya.

Terdahulu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menghadiahkan RM120,000 kepada pemenang pingat gangsa negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik hasil kejayaan mereka itu.

Wang berkenaan adalah pemberian insentif daripada BAM kepada barisan pemainnya dengan setiap pemain turut dijanjikan ganjaran RM1 juta sekiranya berjaya membawa pulang emas dan ia tidak termasuk pemberian daripada Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam).

Situasi itu berbeza dengan PKBM yang memilih untuk menyepi walaupun Azizul memenangi pingat perak di temasya Olimpik berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 10:18 PM