Josip Ilicic. FOTO AFP
Josip Ilicic. FOTO AFP
Agensi

JOSIP Ilicic berkata prestasinya semakin meningkat dengan usianya selepas menjaringkan empat gol ketika membantu Atalanta menyingkirkan Valencia dalam kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara pagi ini.

Kecemerlangan Ilicic membantu Atalanta menewaskan Valencia 4-3 di gelanggang lawan untuk mara ke suku akhir dengan agregat 8-4.

Penyerang berusia 32 tahun itu menjadi pemain paling tua menjaringkan hatrik di gelanggang lawan dalam sejarah Liga Juara-Juara untuk wakil Serie A berkenaan buat kali pertamanya melangkah ke suku akhir kejohanan peringkat Eropah.

Pemain veteran Slovenia berkenaan turut menjadi pemain pertama menjaringkan empat gol di gelanggang lawan dalam pusingan kalah mati kejohanan itu.

“Atalanta bukan lagi satu kejutan. Kami mahu melakukan perkara hebat dan berterusan,” kata Ilicic, yang turut menjaringkan satu gol dalam perlawanan pertama.

“Kami mahu membuktikan yang kami layak untuk berada di sini dengan menunjukkan peningkatan setiap hari.

“Saya meningkat dengan usia saya, saya seronok dan mahu terus meningkat," katanya.

Atalanta mempamerkan aksi memberangsangkan musim ini dengan skuad kendalian Gian Piero Gasperini itu menjaringkan 70 gol untuk menduduki tangga keempat Serie A.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 11:43 AM