LEWANDOWSKI meraikan jaringan di  Allianz Arena. FOTO Reuters
LEWANDOWSKI meraikan jaringan di Allianz Arena. FOTO Reuters
Reuters

PENYERANG berbisa Bayern Munich, Robert Lewandowski menjaringkan dua gol bagi membantu pasukannya menewaskan Hoffenheim 4-3 di tempat sendiri untuk mara ke suku akhir Piala Jerman, awal pagi tadi.

Kelab divisyen empat, Saarbrucken turut mara ke saingan lapan terakhir selepas bangkit mengatasi cabaran Karlsruher 5-3 menerusi penentuan penalti selepas seri tanpa jaringan pada masa tambahan.

Union Berlin menewaskan Verl 1-0 dan Bayer Leverkusen menyingkirkan VfB Stuttgart 2-1 untuk layak ke undian suku akhir esok.

Juara bertahan, Bayern terlebih dahulu dikejutkan jaringan sendiri Jerome Boateng yang tertampan bola ke gawang sendiri tetapi mereka menyamakan kedudukan juga jaringan sendiri pemain Hoffenheim, Benjamin Hubner sebelum Thomas Mueller meletakkan tuan rumah di depan hasil voli menarik pada minit ke-20.

Lewandowski melebarkan kedudukan pada minit ke-36 dan meledak gol keduanya 10 minit sebelum permainan tamat sekali gus jaringan ke-35 dalam semua kejohanan musim ini.

Bagaimanapun, penyerang baharu Hoffenheim, Moanes Dabour merapatkan kedudukan buat pelawat dua minit kemudian dan menjaringkan gol sekali lagi pada masa kecederaan sehingga mencemaskan Bayern dan penyokong mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 7:19 AM