PERLAWANAN membabitkan Bayern Munich dan Hoffenheim. Foto EPA
PERLAWANAN membabitkan Bayern Munich dan Hoffenheim. Foto EPA
AFP

KETUA jurulatih Niko Kovac mengakui Bayern Munich tidak sepatutnya mendapat sepakan penalti kontroversi yang menjadi kunci kepada kemenangan 3-1 mereka ke atas Hoffenheim, hari ini.

Robert Lewandowski menyempurnakan sepakan pada minit ke-82 untuk menjadikan kedudukan 2-1 selepas ulang tayang mengesahkan ia tidak sepatutnya diberikan kepada Bayern, namun video bantuan pengadil (VAR) gagal menukar keputusan.

“Ia tidak begitu jelas,” kata pengendali Bayern, Kovac selepas ulang tayang menunjukkan pertahanan Hoffenheim Havard Nordtveit tidak menyentuh Franck Ribery. “Saya tidak akan memberikannya.”

Pengendali Hoffenheim Julian Nagelsmann pastinya mempunyai sebab kukuh untuk membantah gol berkenaan.

“Saya tidak tahu ke mana perginya video bantuan pengadil. Yang pasti mereka tidak berada di tempat mereka,” kata Nagelsmann.

“Mengapa insiden menjurus kepada penalti itu tidak dilihat adalah satu misteri. Bagi saya, ia bukan penalti, Ribery mungkin sudah tidak mampu meneruskannya, tetapi dia melompat (untuk mengelak terjahan) setengah sejam lebih awal. Di mana video bantuan pengadil?”

Meskipun dipalit kontroversi, Bayern memulakan kempen 2018/19 dengan tiga mata pada penampilan pertama Kovac di laman sendiri.

Thomas Mueller meletakkan Bayern di depan menerusi tandukan di babak pertama dan Adam Szalai menyamakan kedudukan sebelum penalti kontroversi Lewandowski serta jaringan Arjen Robben mengesahkan kemenangan di Allianz Arena.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 1:48 PM