Penonton menyaksikan perlawanan kelayakan Terbuka Australia di Melbourne Park, Melbourne. FOTO Reuters
Penonton menyaksikan perlawanan kelayakan Terbuka Australia di Melbourne Park, Melbourne. FOTO Reuters
AFP

SUHU lebih sejuk dan cuaca cerah selepas hujan lebat semalam membolehkan pegawai kejohanan meneruskan sesi kelayakan bagi Terbuka Australia hari ini.

Selepas ramalan menyatakan jerebu tidak akan melanda sepanjang hari di Melbourne.

Semua perlawanan awal di gelanggang luar Melbourne Park akan mengikut jadual asal manakala beberapa perlawanan yang sebelum ini ditunda kerana kualiti udara buruk atau hujan, dijadualkan semula lewat hari ini.

Penganjur dikritik teruk sejak dua hari lalu oleh pemain yang cuba untuk layak ke undian utama Grand Slam pembuka tirai musim ini kerana meneruskan permainan walaupun kualiti udara buruk akibat kebakaran hutan.

Australia mengalami rekod kebakaran hutan terburuk dengan kebakaran berlanjutan sejak berbulan lalu dan membunuh 28 orang, memusnahkan lebih 2,500 tempat tinggal dan hutan serta tanah pertanian seluas Bulgaria.

Beberapa pemain termasuk kelompok lima teratas wanita, Eugenie Bouchard berkata mereka menghadapi kesukaran bernafas ketika perlawanan.

Pemain Slovenia, Dalila Jakupovic terpaksa menamatkan permainan selepas mengalami masalah akibat batuk pada set kedua Selasa lalu dan mengkritik penganjur kerana meminta pemain meneruskan perlawanan.

Persatuan Tenis Australia (TA) berkata awal minggu ini keputusan mereka mengenai keadaan cuaca adalah boleh beraksi berdasarkan rujukan rekod dan rundingan bersama kakitangan perubatan, ramalan kaji cuaca dan penyelidik sains kerajaan.

Kebakaran hutan menjejaskan beberapa kejohanan sukan elit di Australia termasuk bola sepak, liga ragbi dan kriket.

Kejohanan Terbuka Australia akan bermula dari 20 Januari hingga 2 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 10:15 AM