TERBUKA Australia edisi 2021 bermula Februari untuk memberi tempoh pemain jalani kuarantin. FOTO Agensi
TERBUKA Australia edisi 2021 bermula Februari untuk memberi tempoh pemain jalani kuarantin. FOTO Agensi
AFP

Melbourne: Pemain tenis antarabangsa akan beraksi merebut wang tunai keseluruhan AS$54 juta (RM218 juta) bagi saingan Terbuka Australia tahun depan, selepas ia diumumkan oleh Ketua Kejohanan, Craig Tiley yang mengesahkan saingan Grand Slam itu akan bermula lewat tiga minggu dan pemain harus menjalani kuarantin.

Saingan perseorangan, beregu dan kerusi roda akan diadakan seperti biasa selepas persetujuan dicapai selepas perbincangan selama lapan bulan di antara Tennis Australia (TA) dan pihak berkuasa negeri di Melbourne.

Bagaimanapun, kelayakan lelaki dan wanita akan diadakan di Doha dan Dubai bermula 10 hingga 13 Januari, manakala saingan remaja ditangguhkan.

"Ia akan menjadi Terbuka Australia yang penuh dengan sejarah baru di beberapa peringkat. Buat kali pertama lebih 100 tahun, kejohanan ini akan bermula pada Februari dan kami akan menawarkan kepada pemain di mana kami percaya ia adalah salah satu kejohanan terbaik pernah dilalui mereka," kata Tiley.

Kejohanan berkenaan sepatutnya bermula pada 18 Januari dan sekarang pemain harus tiba di Australia pada 15 Januari untuk menjalani kuarantin wajib selama dua minggu kerana rata-rata mereka adalah dari negara yang masih lagi mencatatkan jumlah kes tinggi.

Mereka dijangka ditempatkan di hotel yang ditempah khas namun dibenarkan untuk berlatih dan melakukan senaman kecergasan selama lima jam sehari.

Kenderaan akan disediakan untuk membawa pemain dari tempat penginapan ke Melbourne Park.

Melbourne baru saja sebulan tamat melakukan perintah kawalan yang bermula Oktober lalu selepas gelombang kedua Covid-19, sekali gus merumitkan perancangan untuk saingan Grand Slam berikutan kehadiran ramai pemain serta staf sokongan ke negara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2020 @ 3:33 PM