Morales Ramírez dijangka tiba minggu ini. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Morales Ramírez dijangka tiba minggu ini. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


PERSATUAN Bolasepak Melaka United (MUSA) memberi peluang kedua kepada calon penyerang import baharunya Amido Balde yang kurang menyerlah pada aksi persahabatan.

Walaupun bekas pemain PSM Makassar, Indonesia berusia 27 tahun itu meledak dua gol ketika berdepan Rizq FC namun ianya belum cukup melegakan buat pengurusan skuad.

Presiden MUSA, Damian Yeo berkata, sentuhan pemain itu dilihat masih belum tajam seperti apa yang dikendaki pengurusan dan barisan kejurulatihan pasukan.

Menurutnya, kemungkinan juga disebabkan masih kepenatan selepas baru sampai sebelum diuji pada perlawanan di Stadium Hang Jebat malam tadi.

"Sebaik sampai dia terus diuji .Faktor keserasian dan memahami corak permainan rakan sepasukan juga perlu diambil kira.

"Kami memberinya peluang menjalani latihan bersama barisan pelatih dan menyertai satu lagi aksi persahabatan untuk memantapkan persembahannya," katanya.

Damian turut difahamkan Balde, anak didik skuad Sporting Lisbon, Portugal dan pernah beraksi untuk beberapa pasukan termasuk Victoria SC selain Cercle Brugge (Belgium), Celtic (Scotland), FC Metz (Perancis), Persebaya dan PSM Makassar sudah berehat tiga minggu selain mengutip kad merah sebelum hadir ke bumi Hang Tuah.

Namun rekod cemerlangnya sebelum ini harus dibuktikan terlebih dahulu untuk disenaraikan dalam pasukan.

MUSA terpaksa mencuba Balde berikutan hajat mereka mendapatkan khidmat penyerang berpengalaman dari Jamaica, Deshorn Brown tidak kesampaian.

Brown yang sepatutnya berganding dengan seorang lagi penyerang import dari Nigeria, Uche Agba memilih beraksi di India walaupun sebelum ini menyuarakan persetujuan menyertai Melaka.

Baginya, jika pemain kelahiran Guinea-Bissau itu tidak menjadi beberapa nama dalam senarai panggilan menyertai pasukan berkenaan.

Mengulas saingan pasukan dalam ujian itu dia berkata, gabungan pemain tengah dan serangan belum mantap tanpa kehadiran Agba serta Romel Morales Ramirez (Colombia) yang dijangka sampai minggu ini.

Damian berkata, prestasi pertahanan dilihat amat menyakinkan dengan persefahaman yang memberangsangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Disember 2019 @ 9:30 PM