Damian (barisan depan, tengah) pada sidang media  pertamanya sebagai presiden MUSA di Stadium Hang Jebat.
Damian (barisan depan, tengah) pada sidang media pertamanya sebagai presiden MUSA di Stadium Hang Jebat.
Nazri Abu Bakar


PRESIDEN baharu Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) Damian Yeo Shen Li mahu tiada lagi isu tunggakan gaji melanda pasukan Melaka United (MU) musim depan.

Beliau dilantik sebagai presiden baharu seperti diumumkan Ketua Menteri, Adly Zahari yang melepaskan jawatannya sebagai presiden persatuan itu semalam berkata, isu gaji memberi gambaran kurang menarik buat persatuan.

Justeru itu, katanya, isu berkaitan tunggakan gaji musim ini akan diselesai mengikut kontrak selewat-lewatnya 30 November mengikut perjanjian.

Menurutnya, sebagai majikan kebajikan pemain adalah keutamaannya termasuk semua exco persatuan terbabit.

Malah dia yakin semua exco akan memberi kerjasama untuk membantu mengatasi perkara berkenaan sekali gus dalam masa sama memastikan imej positif persatuan terbabit tidak terjejas.

“Apa yang penting amanah yang diberi penaja perlu ketelusan untuk menjayakan persatuan ini ke arah yang lebih baik termasuk dalam menjayakan pelbagai program pembangunan.

"MUSA juga berusaha merealisasikan akademi bola sepak akar umbi bagi pembentukan pemain pelapis dalam kalangan murid sekolah rendah dan menengah membabitkan kawasan parlimen di negeri ini,” katanya.

Menurutnya, begitu juga pelancongan sukan yang akan dititik berat untuk menjana pendapatan persatuan berkenaan pada masa depan.

Damien yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong dan Pengerusi Jawatankuasa Kompetensi, Akauntabiliti dan Ketelusan Melaka (MELCAT) dilantik Presiden MUSA berkuat kuasa semalam.

Pelantikan Damian berdasarkan Artikel 40 persatuan yang menyatakan siapa sahaja dipilih sebagai ketua menteri secara automatik adalah presiden MUSA dan boleh melantik sesiapa sahaja dianggap sesuai sebagai presiden.

Damian berkata, dia memahami situasi Adly yang perlu memfokuskan kepada tugas berat memimpin negeri berkenaan terutama dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 November 2019 @ 2:21 PM