CARLO ANCELOTTI
CARLO ANCELOTTI
AFP

DUNCAN Ferguson akan kekal mengendalikan Everton untuk aksi Liga Perdana Inggeris menentang Arsenal malam esok, umum kelab itu dengan Carlo Ancelotti masih calon utama bergelar pengurus tetap.

Pengurus kelahiran Scotland itu berada di kerusi panas Goodison Park untuk tiga perlawanan sebelum ini susulan pemecatan Marco Silva, dengan meraih kemenangan ke atas Chelsea dan seri dengan Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris.

Mereka kemudiannya tewas kepada Leicester menerusi penentuan penalti dalam perlawanan Piala Liga.

“Duncan Ferguson akan kekal sebagai pengendali sementara untuk aksi Liga Perdana membabitkan Everton dan Arsenal pada Sabtu,” menurut kelab itu dalam satu kenyataan.

Laporan media semakin kuat menyatakan Ancelotti bakal menandatangani kontrak tetapi ia akan berlaku beberapa hari berikutnya dengan perlawanan pertama beliau adalah pada Hari Boxing berdepan Burnley di laman sendiri.

Pengendali kelahiran Itali berusia 60 tahun itu dipecat daripada jawatan pengurus Napoli minggu lalu biarpun membawa kelab itu dalam kelompok 16 terbaik Liga Juara-Juara selepas jatuh ke tangga ketujuh Serie A.

Ancelotti mengendalikan Chelsea selama dua tahun dari 2009 hingga 2011, menjuarai Liga Perdana dan Piala FA pada musim pertamanya di di Stamford Bridge.

Arsenal difahamkan semakin hampir untuk mendapatkan penolong jurulatih Manchester City Mikel Arteta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 8:51 AM