FERGUSON diberi kepercayaan mengendalikan Everton.
FERGUSON diberi kepercayaan mengendalikan Everton.
AFP

Liverpool: Everton mengumumkan pelantikan Duncan Ferguson sebagai pengurus sementara buat kali kedua susulan pemecatan Rafael Benitez.

Kelab Liga Perdana yang sedang bergelut itu akan berdepan Aston Villa di tempat sendiri Sabtu ini sebelum rehat antarabangsa dua minggu untuk aksi kelayakan Piala Dunia di Amerika Selatan, Amerika Utara dan Asia.

"Duncan Ferguson dilantik pengurus sementara Everton untuk aksi seterusnya," menurut kenyataan kelab awal pagi tadi.

"Pengumuman pelantikan pengurus tetap akan dilakukan apabila tiba masanya."

Ferguson dilantik menjadi pengurus sementara pada 2019 dan meraih lima mata daripada tiga aksi liga menentang Chelsea, Manchester United dan Arsenal sebelum pelantikan Carlo Ancelotti.

Benitez menjadi pengurus keenam meninggalkan Everton dalam masa enam tahun dan dia dipecat Ahad lalu selepas gagal menang dalam 13 aksi liga dan kini hanya enam mata di atas zon penyingkiran.

Pengurus Belgium, Roberto Martinez antara calon pilihan menggantikan Benitez selain bekas pemain Everton, Wayne Rooney dan bekas bintang England, Frank Lampard.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 9:06 AM