ARTETA (tengah) berdepan tugas sukar mengendali Arsenal. FOTO AFP
ARTETA (tengah) berdepan tugas sukar mengendali Arsenal. FOTO AFP
AFP

CARLO Ancelotti dan Mikel Arteta melihat sendiri bayangan masalah yang bakal menanti mereka dalam tugas baru mereka apabila kedua-dua Everton dan Arsenal terikat tanpa jaringan manakala Southampton menewaskan Aston Villa 3-1 dalam pergelutuan zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris.

Bekas pengendali Napoli Ancelotti sah menjadi pengurus baru Everton pada pagi perlawanan itu, 24 jam selepas Arteta meninggalkan tugasnya sebagai penolong jurulatih Manchester City untuk memimpin Arsenal.

Kedua-dua pengurus berada di Goodison Park dengan dua pengendali sementara Duncan Ferguson dan Freddie Ljungberg membimbing Everton dan Arsenal buat kali terakhir.

Kedua-dua pasukan tampak kurang yakin dalam perlawanan yang jelas sekali kurang berkualiti.

Satu mata diraih setiap pasukan membawa Arsenal ke tangga ke-11 dan Gunners hanya menang sekali dalam 13 perlawanan terakhir semua kejohanan.

Everton pula naik ke tangga ke-15, hanya empat mata di atas zon penyingkiran.

“Kami mempamerkan aksi menakjubkan. Tiada lain yang saya harapkan daripada mereka, mereka memang luar biasa,” kata Ferguson.

Mengenai Ancelotti, Ferguson menambah: “Seorang lelaki yang hebat datang ke sini, saya tidak sabar bekerjasama dengannya.”

Sementara itu Ljungberg dilihat bakal terus berada dalam skuad kejurulatihan Gunners, dan bekas pemain dari Sweden itu berkata: “Saya diberitahu kelab mereka mahu saya kekal.

“Saya sangat gembira. Kami menurunkan pemain muda di padang dan memberi peluang kepada mereka.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 9:27 AM