KANE (kanan) bersama Mourinho (tengah) dan Harry Winks selepas mengatasi West Ham, Sabtu lalu. — FOTO AFP
KANE (kanan) bersama Mourinho (tengah) dan Harry Winks selepas mengatasi West Ham, Sabtu lalu. — FOTO AFP
Reuters

TOTTENHAM Hotspur menemui “pemenang sejati” dengan pengurus baharu Jose Mourinho dan perlu menyasarkan Piala FA Inggeris serta Liga Juara-Juara ketika mereka membida untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 11 tahun, menurut penyerang Harry Kane.

Mourinho, pengganti Mauricio Pochettino yang dipecat minggu lalu, mengemudi kemenangan 3-2 Spurs pada aksi Liga Perdana di West Ham United Sabtu lalu pada perlawanan sulung kendaliannya.

“Beliau sudah menang di setiap kelab yang diuruskannya,” kata Kane kepada media Britain.

“Beliau terbukti seorang pemenang. Saya sudah menjelaskan pada usia ini dalam karier saya yang mana saya mahu memenangi trofi. Saya sudah menjelaskan mahu memenanginya di sini dan ia tahun bermakna buat kami.”

KANE meraikan gol ketiga menentang West Ham di Stadium London. — FOTO AFP
KANE meraikan gol ketiga menentang West Ham di Stadium London. — FOTO AFP

Bekas bos FC Porto, Chelsea, Inter Milan, Real Madrid dan Manchester United itu merangkul 25 kejuaraan utama namun rekod itu menjadi ujian buatnya di Spurs, yang tidak menang kejuaraan sejak Piala Liga 2008.

Kemenangan ke atas West Ham melonjakkan Spurs ke tangga ke-10 dan Kane berkata, ketibaan Mourinho memberi peluang kepada pemain satu permulaan baharu.

“Apabila seseorang mempunyai reputasi sepertinya, ia memberikan anda keyakinan, ia membuatkan anda yakin terhadap pasukan,” kata Kane.

“Ia satu permulaan baru buat setiap orang untuk menunjukkan kepada pengurus apa yang mereka boleh lakukan dan harapnya pemain boleh meningkat.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 11:56 AM