HAFIZH uji kemampuan dengan menyertai TdS pada Disember depan.
HAFIZH uji kemampuan dengan menyertai TdS pada Disember depan.
Azlan Muhammad Zain


PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah antara nama tersenarai menyertai edisi kedua perlumbaan Tour de Selangor (TdS) pada Disember nanti.

Perkembangan itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TdS, Noraidiazhar Sulaiman dengan pelumba kelahiran Ampang berkenaan akan bersama pasukan Amskin Racing Club.

"Namanya salah seorang pelumba disenaraikan Amskin Racing Club. Ia sesuatu perkara baru dan menjadi tarikan di TdS apabila seorang pelumba MotoGP turut berkayuh pada perlumbaan ini.

"Namanya dalam kelab berkenan antara yang sudah diterima kami sebagai pihak penganjur. Malah pasukan ini akan diketuai pelumba berpengalaman, Anuar Manan dan Sofian Nabil Mohd Bakri," tambah Noraidiazhar.

Kalendar perlumbaan MotoGP musim 2019 akan berakhir di Valencia pada hujung minggu nanti.

Hafizh Syahrin dilaporkan akan turut membuat penampilan sulung dalam perlumbaan kereta Sepang 1,000km (S1K) Endurance Race pada 22-24 November ini mewakili pasukan HI-REV SIC Dream Chaser.

Perlumbaan TdS berstatus 2.2 yang dijadual pada 18 hingga 22 Disember diiktiraf Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dalam kalendar Jelajah Asia mempertandingkan lima peringkat perlumbaan.

Ia membabitkan 20 pasukan dalam dan luar negara dengan pelumba akan mengharungi jarak melebihi 700 kilometer di sekitar sembilan daerah di Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 7:38 PM