Aksi pelumba yang menyertai TdS.
Aksi pelumba yang menyertai TdS.
Azlan Muhammad Zain


PERLUMBAAN berbasikal Tour de Selangor (TdS) kini mengintai peluang untuk mendapat "kenaikan pangkat" kepada 2.1 pada edisi ketiga pada 2021.

Perlumbaan berstatus 2.2 dalam kalendar Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) berkenaan berakhir semalam selepas mempertandingkan lima peringkat di sekitar Selangor.

"Kita perlu menunggu maklum balas komisar UCI untuk perlumbaan tahun ini. Jika tiada sebarang masalah, saya fikir tiada sebarang halangan untuk dinaikkan kepada 2.1 jika kita inginkannya.

"Setakat ini tiada sebarang maklum balas negatif dari pihak UCI," jelas Ketua Pegawai Eksekutif TdS, Noraidiazhar Sulaiman.

Menurutnya, tiada sebarang masalah wang kemenangan kerana ia dibayar sebaik perlumbaan selesai sekali gus mengenepikan imej negatif yang mungkin timbul berhubung perkara itu.

Malah menurut Noraidiazhar, mereka turut menyiarkan aksi lima peringkat perlumbaan secara langsung di YouTube dan mendapat jumlah tontonan yang tinggi.

Saingan TdS 2019 menyaksikan penyertaan 18 pasukan dalam dan luar negara membabitkan 110 pelumba.

Pasukan benua tempatan, Team Sapura Cycling (TSC) mempamerkan taring apabila meraih semua empat jersi yang ditawarkan termasuk pasukan terbaik keseluruhan.

Pelumbanya dari Australia, Marcus Culey membuktikan kewibawaannya apabila secara solo melintasi empat garisan penamat termasuk pendakian Peringkat 3 di Bukit Jugra.

Bagaimanapun jaguh pecut Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh membuktikan kepantasannya apabila perlumbaan berakhir dalam kelompok besar bagi memenangi Peringkat 5 di Shah Alam.

Perlumbaan TdS yang diadakan setiap dua tahun merangkumi jarak sekitar 700 kilometer dianjurkan Majlis Sukan Negeri Selangor dan menawarkan hadiah kemenangan berjumlah RM69,066.45.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 9:04 PM