Pelumba NTS RW Racing GP, Hafizh Syahrin gagal memperoleh mata di GP Jerman.
Pelumba NTS RW Racing GP, Hafizh Syahrin gagal memperoleh mata di GP Jerman.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pengurus pasukan NTS RW Racing GP, Jarno Janssen percaya kemampuan pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang sentiasa memberi persembahan terbaik.

Menurut Janssen, dia tidak mahu Hafizh terus menyerah kalah terutama selepas gagal memungut mata di perlumbaan Grand Prix (GP) Jerman hujung minggu lalu.

"Terus berusaha dan jangan menyerah kalah Hafizh Syahrin. Kami sentiasa memuji usaha anda setiap kali turun ke litar untuk berlumba," katanya dalam media sosial, Facebook.

Ujarnya, beliau tidak sabar untuk melihat bekas pelumba MotoGP itu kembali beraksi di GP Belanda hujung minggu ini yang juga gelanggang sendiri buat pasukan di Litar Assen.

Semalam Hafizh menyatakan kekecewaan kerana tidak meraih sebarang mata di Litar Sachsenring dalam perlumbaan GP Jerman kelmarin.

Menurut pelumba NTS RW Racing GP, dia tidak dapat menggunakan sepenuhnya potensi yang ada pada jenteranya sama seperti dilakukan di Litar Mugello di GP Itali bulan lalu.

Katanya, tidak seperti di Mugello di mana dia berjaya mempamerkan tunggangan yang lebih bagus disebabkan litar lebih besar dan tidak banyak selekoh sempit.

Hafizh yang memulakan perlumbaan di petak ke-26 berjaya menamatkan perlumbaan dengan menduduki tempat ke-17.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 6:18 PM