PENGURUS pasukan ARC, Faiz Syarifuddin (dua dari kiri) bersama Anuar Manan (tiga dari kiri)  dan Hafizh pada sidang media, semalam.
PENGURUS pasukan ARC, Faiz Syarifuddin (dua dari kiri) bersama Anuar Manan (tiga dari kiri) dan Hafizh pada sidang media, semalam.
Oleh Azlan Muhammad Zain


RAJA Pecut Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010, Anuar Manan mengetuai Amskins Racing Club (ARC) pada perlumbaan basikal Tour de Selangor (TdS) 2019 yang diwarnai dengan penampilan selebriti sukan, Hafizh Syahrin Abdullah.

Hafizh Syahrin yang tampil buat kali pertama di perlumbaan berbentuk jelajah bakal menyarung jersi Amskins serta mendapat sentuhan dan tunjuk ajar daripada Anuar Manan.

Anuar memberi komitmen untuk memperkuatkan pasukan serta menggunakan pengalamannya yang beraksi di dalam dan luar negara hampir dua dekad dengan sasaran untuk memenangi satu daripada lima peringkat perlumbaan.

Mereka turut diperkuatkan dengan kehadiran Mohd Hafidz Hamid, Sofian Nabil Omar Bakri dan Mohd Irfan Satiran.

“Sebagai mana yang kita ketahui Hafizh sudah melengkapkan musim MotoGP dengan Redbull KTM dan sedang mempersiapkan kecergasan fizikal untuk menyertai musim baharu Moto2. Ini adalah sebahagian daripada regim latihan kecergasan pramusim.

“Lebih 80 peratus pelumba MotoGP menjadikan aktiviti berbasikal ini sebahagian daripada latihan kecergasan dan kami mengharapkan ia turut membantu Hafizh,” jelas Anuar.

Turut bersaing di TdS 2019 adalah PGN Road Cycling yang dibarisi pemenang emas Sukan Sea, Aiman Cahyadi selain pelumba tertua berusia 50 tahun, Tsen Seong Hong dari Kuala Lumpur yang juga pemenang emas Sukan Sea 1997.

Kejohanan TdS 2019 yang bermula Selasa ini berstatus 2.2 dalam Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dengan jarak perlumbaan 679.2km merangkumi laluan sekitar Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 6:00 AM