AKSI Rashford menjaringkan penalti di  Stamford Bridge. - FOTO AFP
AKSI Rashford menjaringkan penalti di Stamford Bridge. - FOTO AFP
Reuters

MARCUS Rashford muncul wira Manchester United selepas sepakan percuma sensasinya membantu menewaskan Chelsea 2-1 di Stamford Bridge untuk mara ke suku akhir Piala Liga, awal pagi tadi.

Rashford meledak rembatan dari jarak sekitar 40 meter yang gagal dijangkau penjaga gol Chelsea, Willy Caballero pada minit ke-73 selepas Michy Batshuayi menyamakan kedudukan pada minit ke-61.

United yang dibarisi kesebelasan utama mendahului pada babak pertama menerusi penalti Rashford selepas pemain Wales, Daniel James dikasari Marcos Alonso.

Skuad Ole Gunnar Solskjaer meraih kemenangan ketiga berturut-turut di tempat lawan sejak kali terakhir pada Mac lalu dan kedua ke atas Chelsea musim ini selepas menang 4-0 dalam aksi pembukaan Liga Perdana.

Skuad muda Frank Lampard kemudiannya kembali garang selepas itu dengan menang tujuh aksi terakhir mereka dalam semua kejohanan dan menduduki kelompok empat teratas Liga Perdana.

Sementara itu, jaringan Anwar El Ghazi dan Ahmed Elmohamady membolehkan Aston Villa turut mara selepas menewaskan Wolverhampton Wanderers 2-1.

Wolves melakukan 11 pertukaran ke atas skuad yang seri di Newcastle United pada Ahad lalu dengan pengurus, Nuno Espirito Santo menyenaraikan pemain berusia 16 tahun yang tampil kali pertama, Chem Campbell. Dia muncul pemain termuda Wolves sejak Jimmy Mullen pada 1939.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 7:48 AM