AKSI pertahanan Wolverhampton Wanderers,  Jonny Otto (kanan) melakukan rembatan di Stadium Molineux. FOTO AFP
AKSI pertahanan Wolverhampton Wanderers, Jonny Otto (kanan) melakukan rembatan di Stadium Molineux. FOTO AFP
AFP

WOLVES mencerahkan peluang ke Liga Europa selepas menewaskan Crystal Palace 2-0 manakala harapan Sheffield United musnah selepas tewas 0-1 kepada Everton, awal pagi tadi.

Dalam satu lagi perlawanan membabitkan kelompok bawah Liga Perdana, Brighton terselamat daripada tersingkir selepas seri 0-0 menentang Newcastle.

Wolves yang kini tidak tewas tiga perlawanan membuka tirai jaringan empat minit sebelum rehat di Molineux.

Andros Townsend hilang kawalan bola dan Joao Moutinho pantas menghantarnya kepada Matt Doherty yang bijak melorongkan bola buat pemain tengah Portugal, Daniel Podence untuk gol pertama Wolves.

Jonny memastikan Palace mengalami kekalahan ketujuh berturut-turut pada minit ke-68 menerusi rembatan jarak dekat.

Skuad Nuno Espirito Santo melonjak ke tangga keenam, satu mata mengatasi Tottenham dan bakal mengesahkan tempat ke Liga Europa jika menang di Chelsea dalam aksi terakhir Ahad ini.

Mereka juga boleh layak jika Tottenham tewas di Palace dalam aksi terakhir.

"Idea untuk meningkat dan melalui proses pembinaan mendatangkan hasil dan hari ini kami mendapat lebih dua mata berbanding musim lalu dengan berbaki satu perlawanan," kata Nuno.

"Aksi Ahad ini sangat sukar tetapi biarlah kami benar-benar bersedia dan bertarung."

Di Bramall Lane, Sheffield United tewas kali kedua berturut-turut sekali gus mengakhiri impian mereka meraih tiket Eropah selepas kempen cemerlang pada permulaan musim.

Skuad Carlo Ancelotti meraih kemenangan hasil tandukan penyerang Brazil, Richarlison pada minit ke-46 selepas mendapat hantaran sepakan percuma Gylfi Sigurdsson. Ia juga jaringan ke-15nya musim ini.

Skuad Chris Wilder menduduki tangga kelapan, lima mata di belakang Wolves dan empat mata di belakang Tottenham dengan baki satu perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 8:14 AM