LESTIENNE (dua kanan) ketika beraksi menentang Arsenal dalam Liga Europa. — FOTO EPA
LESTIENNE (dua kanan) ketika beraksi menentang Arsenal dalam Liga Europa. — FOTO EPA
Reuters

PANGGILAN buat Maxime Lestienne ke skuad kebangsaan Belgium bagi aksi kelayakan Euro 2020 minggu ini berakhir penuh duka awal pagi tadi apabila dia menarik diri kerana cedera.

Penyerang Standard Liege itu secara mengejut dipanggil apabila Roberto Martinez mengumumkan skuadnya Jumaat lalu, memujinya kerana persembahan bertenaga pada pertandingan domestik dalam beberapa minggu terakhir.

Ia menamatkan penantian enam tahun buat Lestienne, yang dipanggil pada 2013 namun tidak beraksi sebelum diketepikan daripada skuad kebangsaan sejak itu. Bagaimanapun kegembiraan Lestienne hanya bertahan 48 jam.

Dia diketepikan daripada aksi kelayakan selepas mengalami kecederaan hamstring pada aksi liga menentang Antwerp Ahad lalu, menurut persatuan bola sepak Belgium.

JURULATIH Belgium, Martinez. — FOTO AFP
JURULATIH Belgium, Martinez. — FOTO AFP

Thibaut Courtois dan Romelu Lukaku tidak hadir semalam ketika skuad Belgium memulakan persiapan menentang San Marino di Brussels awal pagi Jumaat ini, yang mana mereka dijangka muncul negara pertama layak ke kejohanan tahun depan, dan aksi di tempat lawan menentang Kazakhstan, Ahad ini.

Penjaga gol Real Madrid, Courtois terlepas aksi kemenangan ke atas Granada hujung minggu lalu kerana tidak sihat.

Lukaku tidak tampil menentang Barcelona pada aksi Liga Juara-Juara Rabu lalu namun beraksi 90 minit Ahad lalu buat Inter Milan yang kalah aksi laman sendiri di tangan Juventus.

Belgium menang semua enam perlawanan mereka setakat ini dan mendahului tiga mata di depan pasukan tangga kedua Russia dalam Kumpulan I.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 12:37 PM