FAIZAL  jaring dua gol ketika menentang Korea hari ini.
FAIZAL jaring dua gol ketika menentang Korea hari ini.
Saiful Affendy Sapran

SKUAD hoki lelaki negara menamatkan kempen aksi persahabatan menentang Korea Selatan dengan kekalahan 4-5 pada aksi yang berlangsung di Pusat Latihan Kebangsaan Jincheon hari ini.

Kekalahan itu yang kedua berturut-turut dialami skuad bimbingan Roelant Oltmans selepas tewas 0-2 pada perlawanan ketiga semalam.

Sebelum itu skuad negara menang 2-1 serta seri 2-2 pada perlawanan pertama dan kedua.

"Permulaan yang baik apabila kami mendahului 2-0 selepas suku pertama. Suku kedua pula agak teruk tetapi pemain kembali beraksi dengan baik di suku ketiga.

"Kesilapan yang tidak sepatutnya menyebabkan kami dihukum. Perkara positif ialah kami menjaringkan tiga gol padang.

"Tapi malangnya pemain gagal bertahan dengan baik ketika lawan memperoleh pukulan sudut penalti. Mereka (Korea) menjaringkan kesemua gol menerusi pukulan sudut penalti," kata Oltmans.

Malaysian Tigers mendahului lawan 2-0 menerusi pukulan sudut penalti Shahril Saabah minit ke-6 serta jaringan padang penyerang negara, Faizal Saari minit ke-13.

Namun pakar pukulan sudut penalti Korea, Jang Jong-hyun menyamakan kedudukan minit ke-26 dan 29 sebelum Faizal kembali meletakkan skuad negara di depan minit ke-40. Jong-hyun sekali lagi menyelamatkan Korea dengan gol penyamaan seminit kemudian untuk kedudukan semasa 3-3.

Lee Nam Yong meletakkan Korea di depan buat kali pertama menerusi pukulan sudut penalti tetapi Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi menyamakan kedudukan seminit kemudian. Hwang Taeil muncul wira Korea apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-50.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 8:07 PM