AKE (tiga kanan) menanduk masuk gol pertama Cherries di St Mary’s. — FOTO Reuters
AKE (tiga kanan) menanduk masuk gol pertama Cherries di St Mary’s. — FOTO Reuters
AFP

BOURNEMOUTH melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris selepas menang 3-1 ke atas pencabar pantai selatan Southampton, awal pagi tadi.

Anak buah Eddie Howe menguasai pertembungan musuh setempat di Stadium St Mary’s susulan gol babak pertama sumbangan Nathan Ake (minit ke-10) dan Harry Wilson (m-35).

Penalti James Ward-Prowse (m-53) mengurangkan defisit selepas rehat namun Bournemouth mengekang asakan lewat sebelum Callum Wilson (m-95) memastikan kemenangan ketiga mereka dalam liga musim ini.

Ia kemenangan sulung Bournemouth ke atas Southampton pada percubaan kali ke-16.

WARD-PROWSE (kanan) meledak gol tunggal Saints menerusi sepakan penalti. — FOTO Reuters
WARD-PROWSE (kanan) meledak gol tunggal Saints menerusi sepakan penalti. — FOTO Reuters

“Ia satu perasaan yang bagus pada awal musim tapi begitulah situasinya. Kami perlu merendah diri,” kata Howe mengenai kedudukan Bournemouth dalam kelompok empat teratas.

“Kami jarang mendapat detik sebegitu dalam bola sepak yang mana anda betul-betul gembira buat beberapa ketika. Kemudian anda mula memikirkan mengenai minggu depan!

“Ada beberapa tindakan perwira penjaga gol kami. Anda mahu pemain supaya tidak terbawa-bawa kerana mahu fokus dengan kejayaan secara konsisten.”

Southampton kekal di tangga pertengahan selepas kalah kali ketiga dalam enam aksi pertama mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 8:32 AM