NAOMI (kiri) sempat mengambil swafoto bersama peminat pada Terbuka AS. — FOTO AFP
NAOMI (kiri) sempat mengambil swafoto bersama peminat pada Terbuka AS. — FOTO AFP
Reuters

JUARA bertahan Naomi Osaka menamatkan cabaran pemain remaja Amerika Syarikat, Coco Gauff pada Terbuka AS dengan kemenangan 6-3, 6-0 pagi tadi untuk menempah tiket ke pusingan keempat.

Naomi, pemain nombor satu dunia, yang menokok kejuaraan di New York tahun lalu dengan kejayaan Terbuka Australia namun tenggelam timbul sejak itu, mudah mengatasi pemain berusia 15 tahun itu pada perlawanan dinanti-nanti sebelah malam di Stadium Arthur Ashe.

“Bagi saya, ia perlawanan paling fokus buat saya sejak Australia,” kata Naomi pada sesi temu ramah di gelanggang dengan Coco berdiri di sebelahnya. “Jadi, maaf kerana bermain menentang anda dengan mentaliti sebegini.”

Coco, yang mengejutkan dunia tenis apabila layak ke pusingan keempat Wimbledon, melakukan tujuh ‘double fault’ dan banyak kesilapan sepanjang perlawanan itu.

Coco berdepan Naomi Osaka dalam satu kejohanan. FOTO File Agensi
Coco berdepan Naomi Osaka dalam satu kejohanan. FOTO File Agensi

Pada hujung aksi 65 minit itu, Naomi mendekati Coco di tepi gelanggang yang mana kedua-duanya berpelukan dan berbual selama beberapa minit.

“Dia beritahu saya melakukan sesuatu yang menakjubkan dan mengucapkan selamat berjaya dan kemudian dia meminta supaya saya menyertainya ketika temu ramah di tengah gelanggang bersamanya dan saya kata tidak kerana saya tahu saya akan menangis sepanjang masa tapi dia tetap menggalakkan saya,” kata Coco.

“Ia menakjubkan. Dia bermain dengan mengagumkan dan saya banyak belajar daripada perlawanan ini.”

Berikutnya buat Naomi adalah pilihan ke-13 dari Switzerland, Belinda Bencic, yang mengalahkan pemain Estonia, Anett Kontaveit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 1:02 PM