NAOMI berada di landasan terbaik untuk memulakan aksi di Terbuka Australia minggu depan. FOTO AFP
NAOMI berada di landasan terbaik untuk memulakan aksi di Terbuka Australia minggu depan. FOTO AFP
AFP

Melbourne: Pemain nombor tiga dunia, Naomi Osaka terpaksa bekerja keras ketika berdepan Katie Boulter untuk mencatat kemenangan dalam perlawanan tiga set dan mara suku akhir saingan Trofi Gippsland.

Juara Terbuka Australia 2019 itu mengetepikan wakil Britain, yang menduduki ranking ke-371 dunia, selepas menang 3-6, 6-3, 6-1 dalam tempoh satu jam 47 minit.

Dia selepas ini akan berdepan Irina Camelia Begu dari Romania tatkala melakukan persiapan untuk Terbuka Australia yang bermula Isnin depan.

"Selepas kalah di set pertama, saya hanya mahu kembali memberi tentangan sebaik mungkin dan memberikan usaha terbaik saya

"Saya suka perlawanan yang panjang kerana saya boleh menilai keadaan gelanggang dan ia membantu meningkatkan kecergasan," katanya.

Katie berjaya memberikan tentangan sengit dengan memiliki fizikal yang kuat dan melepaskan pukulan padu, sekali gus berjaya mencuri tumpuan di Melbourne termasuk ketika mengetepikan pemain remaja sensasi, Coco Gauff semalam selepas bangkit dari ketinggalan.

Dia berjaya mengimbangi aksi agresif Naomi dari garisan belakang pada set pertama, dengan menggunakan kesempatan di atas kesilapan lawannya dan berjaya mematahkan set sebanyak dua kali bagi meraih kemenangan dalam tempoh 39 minit.

Naomi kemudiannya meningkatkan intensiti, mendahului 4-0 sebelum Katie tanpa dijangka berjaya memenangi tiga permainan berturut-turut.

Bagaimanapun, bintang Jepun itu kembali fokus untuk mengheret aksi ke set penentuan, yang berjaya dikuasainya.

Juara tiga kali Grand Slam itu selesa mengalahkan wakil Perancis, Alize Cornet dengan keputusan straight set semalam dalam perlawanan kompetitif pertamanya selepas meraih kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat kedua September lalu.

Serena Williams, pemain nombor dua dunia, Simona Halep dan penyandang juara Terbuka Australia, Sofie Kening turut beraksi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 1:30 PM