Klopp nak rehat setahun selepas kontrak Liverpool berakhir. FOTO REUTERS
Klopp nak rehat setahun selepas kontrak Liverpool berakhir. FOTO REUTERS
Reuters

JURULATIH Liverpool, Juergen Klopp berkata dia menjangkakan mengambil cuti rehat untuk mengembalikan semula tenaga selepas kontraknya bersama juara Eropah itu berakhir.

Klopp, menyertai Liverpool pada 2015, masih mempunyai kontrak sehingga 2022, mengendali kelab itu menjulang Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu dan menamatkan saingan di tempat kedua di belakang Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Saya mempunyai tenaga mutlak. Bagaimanapun, saya mempunyai satu masalah. Saya tidak boleh ‘sikit saja’.

Apa saya boleh buat adalah ‘buat atau tidak dapat apa-apa langsung’,” katanya kepada majalah Jerman, Kicker, hari ini.

“Apabila saya mengambil keputusan saya tidak boleh melakukannya lagi saya akan mengambil cuti rehat selama setahun.”

Klopp menyertai Liverpool selepas mencapai kejayaan di Borussia Dortmund dengan meraih dua gelaran Bundesliga dan Piala Jerman.

Skuad itu turut mara ke final UCL 2013.

Liverpool, yang masih menanti gelaran liga sejak 1990, kini di persada liga dengan mata maksimum daripada tiga perlawanan, dua mata di depan juara bertahan, City.

Kejayaan dalam EPL digabungkan gelaran UCL pasti akan meletakkan Klopp berada dalam kalangan jurulatih paling berjaya Liverpool sejak beberapa dekad lalu.

“Selepas berehat selama setahun itu, keputusan mesti dibuat,” kata Klopp.

“Bagaimanapun, peluang mungkin ada sekali lagi kerana tenaga saya ketika itu berada pada tahap tertinggi sepertimana saya mahukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 5:44 PM