PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp. FOTO AFP
PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp. FOTO AFP
Reuters

London: Pengurus Liverpool, Juergen Klopp menandatangani kontrak sambungan selama dua tahun untuk membolehkannya berada di Anfield sehingga 2026, kata kelab Liga Perdana Inggeris itu, malam tadi.

Klopp, yang kontrak asalnya akan tamat pada 2024, membantu Liverpool menang Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Perdana Inggeris sejak tiba di Merseyside pada 2015.

"Ada sesuatu yang segar dan baru mengenai kami sebagai satu kelab dan ia memberikan tenaga kepada saya," kata Klopp dalam satu kenyataan.

"Terdapat banyak perkataan boleh saya guna untuk menggambarkan perasaan mengenai berita ini...gembira, dihargai, bersyukur, dihormati dan teruja.

"Sepanjang saya berada di sini, pemilik kelab memberikan komitmen tidak berbelah bahagi dan bersungguh-sungguh dengan kelab serta memiliki masa depan jelas."

Liverpool yang menang Piala Liga, Februari lalu berada di landasan tepat untuk menambah tiga lagi trofi untuk mencipta sejarah empat gelaran, musim ini.

Mereka kini di tangga kedua liga, sebelah kaki ke final Liga Juara-Juara Eropah apabila menang 2-0 ke atas Villarreal di perlawanan separuh akhir pertama dan akan menentang Chelsea di final Piala FA.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 8:38 AM