Anis mahu perkukuh reputasi. FOTO NSTP/MUHD ZAABA ZAKERIA
Anis mahu perkukuh reputasi. FOTO NSTP/MUHD ZAABA ZAKERIA
Azlan Muhammad Zain


PELUMBA trek negara, Anis Amira Rosidi berpeluang untuk mengukuhkan reputasi sekiranya terus menyerlah di Kejohanan Trek Grand Prix Asia Tenggara 2019 yang dijadual bermula, esok.

Dia adalah atlet wanita tunggal negara yang berpangkalan di Melbourne, Australia dan mendapat sentuhan secara langsung dari ketua jurulatih negara, John Beasley bersama-sama tiga pelumba elit lelaki negara iaitu Azizulhasni Awang, Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Zonis.

Pelumba berusia 21 tahun berkenaan mula mempamerkan peningkatan apabila cemerlang di Piala Trek Asia Taiwan dengan menjuarai acara keirin dan pecut berpasukan bergandingan dengan Farina Shawati Mohd Adnan pada Mei lalu.

Persembahannya dijangka menjadi tumpuan terutamanya dalam menghadapi senior yang lain termasuk ratu trek negara, Fatehah Mustapa yang berdepan kemerosotan prestasi dan berlatih di Malaysia sejak awal tahun.

"Saya akan memberikan apa yang termampu, janji saya dapat mencapai sasaran untuk mencapai podium dalam acara disertai nanti.

"Sudah tentu perasaan gerun perlu ada kepada senior. Saya tidak boleh terlalu yakin namun perlu terjemahkan apa dilakukan dalam latihan selama ini," jelas bekas atlet olahraga itu.

Atlet diletakkan sasaran untuk Olimpik 2024 berkenaan mengakui mendapat kelebihan apabila berpeluang berlatih bersama skuad elit negara di Melbourne sekali gus meningkatkan keyakinannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 3:26 PM