ANIS (kanan) raih dua emas di Kaohsiung, Taiwan.
ANIS (kanan) raih dua emas di Kaohsiung, Taiwan.
Azlan Muhammad Zain

KEM berbasikal negara boleh menarik nafas lega walaupun berdepan kemerosotan prestasi ratu trek, Fatehah Mustapa di pentas antarabangsa.

Malaysia kini boleh menaruh harapan kepada pelumba muda, Anis Amira Rosidi yang cemerlang meraih dua emas di siri pertama Kejohanan Trek Klasik Antarabangsa Taiwan 2019 di Kaohsiung pada Ahad.

Pelumba berusia 21 tahun dari Perlis itu meraih pencapaian terbesar dalam kariernya apabila muncul juara acara keirin selain pecut berpasukan bergandingan bersama Farina Shawati Mohd Adnan dalam kejohanan kelas 1 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

"Anis sebenarnya lebih tertumpu kepada pembangunan jangka masa panjang bagi trek wanita negara. Dia menjalani latihan di Melbourne bersama-sama tiga senior yang lain iaitu Azizulhasni Awang, Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Zonis.

"Matlamat utama adalah dia dapat mempelajari dan menimba pengalaman daripada perlumbaan antarabangsa.

Sasarannya adalah Sukan Asia 2022 dan Olimpik 2024," jelas jurulatih negara, Harnizam Basri.

Bagi saingan siri kedua Kejohanan Trek Klasik Antarabangsa Taiwan 2019 yang berlangsung hari ini, tiada kilauan pingat mampu dihasilkan wakil negara dengan tiga perlumbaan membabitkan keirin lelaki dan wanita final termasuk madison dibatalkan susulan hujan lebat.

Ia memusnahkan harapan Anis untuk menambah kilauan pingat dalam keirin selepas mengesahkan tiket ke final.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 7:09 PM