Peserta menyertai acara larian Mega Maju New Generation Run.
Peserta menyertai acara larian Mega Maju New Generation Run.

HAMPIR 1,000 peserta menyertai larian Mega Maju New Generation Run 2019 di Dataran Publika, Dutamas, Kuala Lumpur, hari ini.

Acara terbuka itu disertai masyarakat awam dan penggemar sukan larian, selain turut disertai ahli-ahli koperasi yang terdiri daripada penggiat industri hartanah dan mikro kredit di seluruh Selangor anjuran Koperasi Mega Maju Selangor Berhad dan Personal Banc Berhad.

Program bermula jam 7 pagi itu disempurnakan oleh Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Koperasi, Kementerian Pembangunan Usahawan, Dr Salmah Ishak.

Pengerusi Koperasi Mega Maju Selangor, Datuk S Murugan yang juga Pengerusi Personal Banc Berhad berkata, program berkenaan berjaya memupuk semangat dan gaya hidup sihat dalam kalangan peserta.

“Walaupun pertama kali dianjurkan, ia berjaya menarik minat ramai peserta yang berusaha menjadikan aktiviti ini sebagai salah satu daripada amalan hidup mereka.

Hari ini kita berbangga kerana telah mewujudkan satu komuniti yang menitik beratkan aspek kesihatan dan membudayakan sukan.

“Serentak sambutan Kemerdekaan ke-62, 31 Ogos ini, kami berbangga dapat membuktikan rakyat Malaysia dari pelbagai kaum yang menyertai larian Mega Maju New Generation Run 2019 hari ini, mampu bersatu melalui medium sukan dan melakukan aktiviti sihat secara bersama," katanya.

Acara yang julung kali dianjurkan itu mempertandingan kategori lelaki dan wanita terbuka, membabitkan jarak larian sejauh 5 kilometer melalui sekitar Dutamas dan Hartamas, Kuala Lumpur.

Juara membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 serta medal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 8:52 PM