LEE Tuck
LEE Tuck
Malik Muhamad & Mohd Amin Jalil


KUALA TERENGGANU: Arkitek Terengganu FC (TFC), Lee Tuck mengakui teruja dan tidak sabar bertemu bekas pasukannya, Negeri Sembilan dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Pemain berdarah kacukan England-Malaysia itu menyatakan dia tidak akan sesekali memberi layanan ‘istimewa’ kepada skuad Hobin Jang Hobin sebaliknya tekad mahu membedil pasukan itu.

“Saya sangat teruja dan tidak sabar berdepan kelab lama saya selepas hampir setahun tidak bertemu kerana berlainan liga. Seperti mana dengan kelab saya sekarang TFC, saya juga gembira ketika bersama pasukan itu dan banyak kenangan manis bersama mereka, pastinya ia sesuatu yang menarik apabila menentang pasukan itu.

“Matlamat saya mudah iaitu untuk tambah mata, jadi fokus saya kini ialah menang bertemu Negeri Sembilan terlebih dahulu bagi mengintai peluang lebih awal layak ke suku akhir,” kata Tuck yang juga kapten skuad itu.

Sebelum menyarung jersi skuad Penyu musim lalu, pemain berusia 31 tahun yang memulakan karier bersama kelab Halifax Town di England adalah tonggak utama skuad Hobin Jang Hobin pada 2017.

“Keyakinan saya dan rakan sepasukan kini sangat tinggi, ia dapat dilihat daripada dua perlawanan sebelum ini terutama ketika menewaskan Kedah 2-0 biarpun beraksi dengan sepuluh pemain, ia sangat menakjubkan.

“Kesungguhan dan kerjasama harus dikekalkan selain kami tidak boleh leka dengan situasi selesa kerana ia boleh mengundang duka buat kami dalam misi mendapat tiga mata. Justeru harus diingat walaupun lawan skuad Liga Perdana, mereka pasukan kuat, justeru kami perlu terus fokus dan menyelesaikan tugas kami dengan baik pada malam itu,” kata Tuck.

Sementara itu, pengendali Negeri Sembilan, Zaki Sheikh Ahmad mahu pemain melakukan perubahan dalam persembahan ketika turun menentang TFC.

Beliau yang kelihatan sedikit tertekan selepas skuad bimbingannya tewas dalam dua perlawanan terdahulu, menggesa anak buahnya meningkatkan prestasi dengan memberikan tentangan habis-habisan kepada skuad lawan bagi mendapatkan kemenangan.

“Perlawanan menentang TFC boleh diibaratkan sebagai penentu nasib pasukan dalam kempen Piala Malaysia musim ini, walaupun saingan masih di pusingan pertama.

“Kita perlu menang perlawanan untuk menghidupkan peluang ke suku akhir dan sasaran kemenangan bukan sesuatu yang mustahil untuk direalisasikan walaupun kita wakil dari Liga Perdana berbanding TFC dari Liga Super dan dilihat antara pasukan pilihan dalam saingan ini.

“Apa yang saya harapkan, pemain tidak terlalu menghormati TFC hingga menjejaskan rentak persembahan sebaliknya perlu lakukan perubahan dengan melaksanakan taktikal dirancang dan berusaha menterjemahkan dengan baik dalam aksi sebenar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ketika ini, TFC mendahului carta Kumpulan A selepas mengumpul enam mata berbanding Kedah dan PKNS, masing-masing tiga mata hasil satu kemenangan yang dicatatkan, manakala Negeri Sembilan belum meraih sebarang mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 5:31 AM