Oltmans memberi arahan ketika menentang Belgium. FOTO MHC
Oltmans memberi arahan ketika menentang Belgium. FOTO MHC
Saiful Affendy Sapran


KELETIHAN menjadi faktor utama kepada kegagalan skuad hoki lelaki negara untuk menyaingi Belgium yang menyaksikan Malaysian Tigers tewas 1-5 di tangan pemenang Piala Dunia 2018 itu pada perlawanan ujian siri jelajah Eropah, semalam.

Perkara itu diakui oleh ketua jurulatih Malaysian Tigers, Roelant Oltmans yang berkata, anak buahnya perlu bangkit dan kembali kepada prestasi sebenar apabila turun pada aksi terakhir jelajah itu bertemu lawan sama esok.

"Tahap kecergasan setiap pemain tidak seperti ketika awal siri jelajah ini yang menyaksikan mereka berada pada prestasi terbaik.

"Kini proses pemulihan perlu dilakukan dan saya amat mengharapkan keputusan paling baik pada perlawanan terakhir sebelum kami pulang semula ke Malaysia," katanya.

Mengulas perlawanan semalam, Oltmans berkata, suku pertama dan terakhir menjadi titik tolak kekalahan skuad negara apabila Belgium banyak menjaringkan gol.

Malaysia nyata tiada jawapan ketika bertemu pasukan ranking kedua dunia itu apabila ketinggalan 0-3 selepas berakhir separuh masa pertama menerusi gol padang sumbangan Cedric Charlier, Nicolas de Kerpel dan Tom Boon masing-masing m-7, 8 dan 24.

Bermula babak kedua, anak buah Oltmans cuba bangkit menerusi jaringan padang penyerang negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil m-34.

Namun Belgium menafikan kebangkitan Malaysian Tigers apabila Florent van Aubel dan Victor Wegnez menambah dua gol m-51 dan 57.

Skuad negara akan melengkapkan siri jelajah Eropah dengan bertemu Belgium sekali lagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 6:42 PM