PEMAIN Felda United Mohd Khairul Amri Mohd Kamal (empat, dari kiri) bersaing di udara dengan pertahanan Pahang Muslim Ahmad pada perlawanan Liga Super. -Foto BERNAMA
PEMAIN Felda United Mohd Khairul Amri Mohd Kamal (empat, dari kiri) bersaing di udara dengan pertahanan Pahang Muslim Ahmad pada perlawanan Liga Super. -Foto BERNAMA
Asrol Awang


BIARPUN muncul naib juara Liga Super musim ini, pengendali Pahang, Dollah Salleh tetap terkilan kerana misi mempertahankan Piala FA tidak kesampaian.

Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, kegagalan itu diharap ditebus sebaik kempen Piala Malaysia bermula, bulan depan.

“Walaupun kami meraih tempat kedua liga, ia tidak memberi sebarang makna kerana kami masih lagi terasa kegagalan dalam saingan Piala FA.

“Namun, segalanya perlu dipandang dari sudut positif untuk memastikan pada saingan Piala Malaysia, Pahang kembali dengan prestasi lebih baik.

“Saya juga puas hati walaupun terluka, saya percaya semua pemain sudah memberikan yang terbaik dan kita boleh bawa semangat juang ini dan tonik ke kempen Piala Malaysia nanti,” katanya.

Mengulas kemenangan 3-1 ke atas FELDA United FC malam tadi, Dollah mengakui masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki sebagai persediaan menghadapi kempen Piala Malaysia.

Katanya, ini kerana corak permainan yang dipersembahkan tidak konsisten hingga memberi ruang lawan menjaringkan gol penyamaan.

“Ada masanya kita bermain dengan baik dan ada masanya hilang punca, mereka gagal untuk mengekalkan rentak permainan hingga memberi kesan terhadap persembahan pasukan.

“Namun, pada babak kedua, dengan kemasukan Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha), Dickson Nwakaeme dan Mickey (Faisal Halim) nampak perubahan.

“Kesimpulannya, kami kena betulkan banyak lagi kelemahan terutama di bahagian pertahanan sebaik FELDA United melakukan serangan,” katanya.

Pada perlawanan itu, tiga gol skuad Tok Gajah, masing-masing dijaringkan Lazarus Kaimbi pada minit ke-13, Herold Goulon (m-71) dan Nwakaeme (m-87) manakala gol tunggal The Fighters dijaringkan S Chanturu minit ke-27.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 11:59 AM