Sebanyak 220 kenderaan dari Alor Setar akan ke Bukit Jalil pada 27 Julai. FOTO FB Persatuan Bolasepak Kedah
Sebanyak 220 kenderaan dari Alor Setar akan ke Bukit Jalil pada 27 Julai. FOTO FB Persatuan Bolasepak Kedah
Izzali Ismail


PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) menerima 220 permohonan kenderaan (bas dan van) penyokong yang membuat tempahan tiket menyaksikan final Piala FA Perak menentang Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada 27 Julai.

Melalui kenyataan laman rasmi persatuan hari ini, KFA memaklumkan tarikh permohonan tempahan tiket bagi penyokong membabitkan bas dan van ditutup Ahad lalu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu Masuk KFA, Jusri Anuar Jamarudin permohonan sebanyak 220 kenderaan adalah jumlah dicatat KFA sepanjang tempoh enam hari bermula 9 hingga 14 Julai lalu.

"Dari jumlah itu, 178 permohonan adalah dari kumpulan menaiki bas dan 42 permohonan pula adalah dari penyokong menggunakan van.

"Jadi jumlah permohonan diterima dalam tempoh ditetapkan itu adalah sebanyak 220 kenderaan,” katanya.

Pihak KFA yakin segala permohonan yang dihantar akan dapat dikendalikan secara telus dan profesional sebagaimana yang ditetapkan.

"Kami meneliti setiap syarat dalam permohonan dan akan memaklumkan kelulusan secepat mungkin".

Turut dinyatakan maklumat khas serta panduan dari Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berkaitan keadaan trafik pada hari perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 5:41 PM