Tempahan tiket berkumpulan untuk final Piala Malaysia. Ihsan FB KFA
Tempahan tiket berkumpulan untuk final Piala Malaysia. Ihsan FB KFA
Izzali Ismail


PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) menerima tempahan tiket secara berkumpulan untuk aksi perlawanan akhir Piala Malaysia membabitkan Kedah menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) selama dua hari bermula hari ini hingga 29 Oktober.

Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu Masuk KFA Jusri Anuar Jamarudin menerusi laman rasmi KFA berkaitan tarikh tempahan tiket untuk penyokong Kedah yang membuat tempahan melalui bas dan van dari Kedah.

Menurut kenyataan itu semua permohonan perlu dihantar terus ke pejabat KFA dan sebelum permohonan dapat diluluskan, semua pemohon perlu mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.

"Untuk tempahan bas dan van, penyokong perlu melengkapkan dokumen seperti surat rasmi permohonan dan menyertakan permit sah bas atau van, resit pembayaran sewaan kenderaan berkenaan, lesen pemandu dan juga salinan kad pengenalan pemohon.

"Waktu urusan tempahan adalah dari jam 10 pagi hingga 4.30 petang. KFA akan memaklumkan status permohonan sama ada diterima atau sebaliknya bermula 29 Oktober selepas jam 5 petang dan bagi permohonan yang berjaya, tarikh membuat bayaran pula akan dimulakan pada 30 Oktober (Rabu) sehingga selewat-lewatnya jam 12.30 tengah hari.

"Bagi penjualan tiket di kaunter, pengesahan muktamad maklumat penjualan tiket dan tempat perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 akan dimaklumkan oleh Malaysian Football League (MFL).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 12:47 PM