STUART Ramalingam
STUART Ramalingam
Meor Riduwan Meor Ahmad


KUALA LUMPUR: Pengadil import Jepun akan mengadili final Piala FA membabitkan Perak dan Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 27 Julai depan.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Michael Ramalingam semalam yang memaklumkan hanya dua dari tiga negara iaitu Jepun dan Australia memberi reaksi positif berhubung permohonan untuk mendapatkan khidmat pengadil import dihantar pada Mei lalu, manakala Thailand terpaksa menolak kerana mempunyai program video bantuan pengadil selain liga tempatan sedang berlangsung pada tarikh berkenaan.

Katanya, FAM bagaimanapun memilih tiga pengadil dari Jepun berdasarkan kerjasama dimeterai dengan Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) berkaitan pembangunan bola sepak selain bagi mengelak sebarang masalah jika pengadil dari negara berbeza digunakan.

“Kami juga meneliti nama dan kelayakan pengadil Jepun yang dicadangkan JFA dan perbincangan itu di peringkat akhir. Hanya tunggu surat-menyurat,” katanya selepas Kongres FAM ke-55, semalam.

Stuart berkata, seorang pengadil utama dan dua pembantu pengadil dari Jepun akan digunakan serta dibantu pengadil keempat dari Malaysia, namun identiti mereka hanya akan didedahkan selepas semuanya dimuktamadkan sedikit masa lagi.

Mengenai kos pengadil import, katanya, ia di peringkat perbincangan antara Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan FAM, namun tidak menolak kemungkinan ia ditanggung bersama.

Sementara itu, bagi memastikan hanya calon berkredibiliti dicalon bertanding jawatan presiden dan timbalan presiden FAM pada masa depan, Kongres FAM sebulat suara meluluskan pindaan Statut FAM iaitu Artikel 27 (4).

Antara pindaan baharu Artikel 27 (4): Pemilihan iaitu setiap calon hendaklah mendapat jumlah pencalonan minimum daripada ahli mengikut jawatan yang ditandingi iaitu Presiden FAM (6 pencalonan), Timbalan Presiden FAM (5), Naib Presiden FAM (4) dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM (2).

Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi berkata, pindaan itu selaras dengan Artikel 27 (1) Statut Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Artikel 38 (2) Statut Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Katanya, pindaan itu mempunyai rasionalnya kerana sebelum ini banyak berlaku calon tidak berkelayakan turut bersaing merebut jawatan penting dalam badan penaung sukan nombor satu di Malaysia dan dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 7:00 AM