AMIRUL Izwan (kanan) ketika mengendalikan perlawanan liga tempatan. — FOTO Rasul Azli Samad
AMIRUL Izwan (kanan) ketika mengendalikan perlawanan liga tempatan. — FOTO Rasul Azli Samad
BERNAMA

KUALITI yang dimiliki pengadil tempatan terus mendapat perhatian negara luar apabila dua pengadil dipilih Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengendalikan dua aksi persahabatan, membabitkan pasukan Jepun dan skuad Bawah 22 (B-22) negara itu bulan depan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan memaklumkan, badan induk itu memilih Amirul Izwan Yaacob sebagai pengadil bagi perlawanan persahabatan antarabangsa antara Jepun dan Venezuela di Stadium Panasonic Suita, Osaka pada 19 November ini.

Stuart turut menjelaskan Amirul Izwan juga dipilih sebagai pegawai keempat bagi aksi persahabatan skuad B-22 Jepun dengan Colombia di Stadium Edion Hiroshima pada 17 November ini.

“Yusri Muhamad pula akan bertindak sebagai penolong pengadil bagi kedua-dua perlawanan itu yang menjadi sebahagian daripada Piala Cabaran Kirin 2019,” jelas Stuart.

Beliau menyatakan pemilihan pengadil itu diputuskan selepas Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) menghantar jemputan kepada FAM untuk mengendalikan perlawanan membabitkan skuad Samurai Biru.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini memilih Amirul Izwan dan Yusri, masing-masing sebagai pengadil dan penolong pengadil bagi mengendalikan aksi Kumpulan B, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara Kuwait dan Taiwan di Kuwait pada 14 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 11:05 PM